KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkait keadaan jerebu yang semakin memburuk amat membimbangkan, terutama kesannya terhadap kesihatan rakyat.
“Soal jerebu ini memang sudah berada di tahap yang membimbangkan dan saya telah hubungi sendiri Presiden Prabowo dan beliau juga setuju ambil langkah-langkah yang perlu.
“Kemudian Menteri Luar, Menteri Alam Sekitar juga menghubungi rakan sejawat dan kita menyatakan sejak beberapa minggu yang lalu kesediaan kita untuk memberikan apa sahaja kerjasama kerana tahap jerebu kini membimbangkan dan saya tahu juga mengesankan kesihatan rakyat.
“Walaupun sudah dilaksanakan pembenihan awan dan hujan oleh TUDM dan beberapa agensi yang berkait. Tetapi keadaan itu masih merungsingkan. Insya-Allah kita akan cuba lagi.
“Tadi sekali lagi saya minta Menteri Luar untuk hubungi Sekretariat ASEAN bagi menyegerakan mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN untuk menyelaras tindakan serantau, khususnya memperkukuh usaha Indonesia menangani masalah ini demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.



