Bajet 2027: 9 ribu jawatan tetap dibuka, doktor kontrak interim disasar tamat akhir 2027 – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR — Belanjawan 2027 menyediakan 9,000 jawatan tetap bagi doktor, sekali gus membuka laluan kepada penamatan lantikan kontrak interim dalam kalangan pegawai perubatan menjelang penghujung tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses penyerapan ke jawatan tetap akan dilakukan secara berperingkat sepanjang 2027, dengan mengambil kira kelayakan serta kumpulan doktor yang terlibat.

Menurutnya, kaedah pelaksanaan yang lebih terancang dan pendekatan pengurusan yang berbeza akan digunakan bagi memastikan proses pelantikan dapat dipercepatkan.

“Pelantikan tetap akan kita laksanakan sepanjang 2027 ini kita akan tamatkan. Proses itu akan mengambil masa sedikit, tapi memenuhi syarat-syaratnya dan juga mengambil kira batches-nya, cohort-nya.

“Apa pun kita akan laksanakan dengan cara yang mungkin agak sikit inovatif untuk ditangani dengan secara segeralah.

“Ini memerlukan sedikit kelainan pengurusan dan pendekatannya,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Dzulkefly berkata, penyediaan jawatan tetap itu merupakan antara langkah menangani keperluan tenaga kerja dalam sektor kesihatan, namun perancangan jangka panjang perlu dilaksanakan secara bersama oleh beberapa agensi kerajaan.

Katanya, kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) penting bagi menyelaraskan keperluan pengambilan, penempatan serta latihan kepakaran tenaga kesihatan.

Dalam pada itu, Belanjawan 2027 turut memberikan perhatian kepada kebajikan jururawat dan anggota paramedik menerusi peningkatan insentif kelayakan kepakaran lanjutan atau post-basic daripada RM100 kepada RM200, yang memanfaatkan kira-kira 47,000 petugas.

Selain itu, insentif perkhidmatan kesihatan bagi petugas yang berkhidmat menerusi perkhidmatan doktor udara turut dinaikkan daripada RM30 kepada RM100.

“Ini tiga perkara yang saya nak sebutkan tentang yang terkait dengan memperteguhkan tenaga kerja kesihatan,” katanya.

Bagi meningkatkan mutu kemudahan kesihatan awam, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan hospital serta klinik, termasuk menaik taraf klinik daif dan kuarters.

Sebanyak RM968 juta turut disediakan bagi pembelian peralatan perubatan moden, penambahbaikan kemudahan hemodialisis serta peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan.

Selain peruntukan tersebut, KKM turut menerima tambahan 400 ambulans bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan dan mempertingkat keupayaan pengangkutan pesakit.

Peruntukan berkenaan mencerminkan tumpuan Belanjawan 2027 terhadap pengukuhan tenaga kerja, penambahbaikan infrastruktur dan peningkatan keupayaan perkhidmatan kesihatan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat