Bajet 2027: NADI, pengecualian cukai hiburan perkasa industri komunikasi dan kreatif – Fahmi

KUALA LUMPUR — Pengiktirafan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat serta pengecualian cukai hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027 antara manfaat utama yang diketengahkan bagi sektor di bawah Kementerian Komunikasi menerusi Belanjawan 2027.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beberapa inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi komuniti, keusahawanan dan pengukuhan industri kreatif tempatan.

Menurutnya, pengiktirafan terhadap NADI merupakan antara perkara yang menonjol dalam belanjawan kali ini kerana pusat berkenaan berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam merancakkan ekonomi setempat serta membantu golongan usahawan.

“Bagi Kementerian Komunikasi, ada beberapa perkara yang benar-benar menonjol. Antaranya pengetepian duti hiburan untuk tiket filem dan pengiktirafan NADI sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat serta kumpulan usahawan.

“Jadi, ini kita lihat sebagai pembakar semangat dan insya-Allah menjelang hujung tahun ini, kita akan mengadakan NADI Open Day untuk mengumpulkan semua pengurus dan penolong pengurus NADI di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Fahmi berkata, program NADI Open Day yang dirancang menjelang hujung tahun ini akan menjadi platform untuk meneliti inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, selain membincangkan pengumuman serta sokongan lanjut kepada pengurus dan penolong pengurus NADI di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pengecualian cukai hiburan bagi tiket filem di Wilayah Persekutuan diharap dapat mengurangkan harga tiket pawagam dan menggalakkan lebih ramai rakyat menonton karya tempatan.

Katanya, beliau akan berhubung dengan persatuan yang mewakili pemamer filem bagi membincangkan pelaksanaan inisiatif berkenaan supaya manfaatnya dapat dinikmati penonton.

“Kerajaan telah memberikan pengecualian cukai hiburan, maka harga tiket di panggung wayang di Wilayah Persekutuan sepatutnya turun. Saya akan berhubung dengan pihak MAFE mengenai perkara ini.

“Langkah ini sudah pasti akan menggalakkan lebih ramai orang menonton filem, terutamanya filem tempatan,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut meneruskan sokongan kepada industri perfileman menerusi insentif Filming in Malaysia Incentive (FIMI) yang diperluaskan kepada syarikat produksi tempatan, selain menggalakkan aktiviti penerbitan oleh syarikat antarabangsa.

Fahmi berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat memberi suntikan semangat kepada industri perfileman negara untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti serta memperluaskan peluang rakyat Malaysia menikmati hasil karya tempatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat