KUALA LUMPUR — Perikatan Nasional (PN) menjangkakan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatkan lebih daripada empat kerusi, dengan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi sudah diadakan, manakala rundingan lanjut bersama UMNO-BN akan diteruskan bagi mencapai persetujuan.
Menurutnya, rundingan berkenaan kini berada pada peringkat awal dengan draf pertama sudah dibincangkan sebelum keputusan muktamad dicapai.
“Melaka kita sudah mengadakan perbincangan pada peringkat awal, termasuk draf pertama. Saya menjangkakan dalam masa terdekat ini perkara tersebut akan dimuktamadkan menerusi perbincangan dengan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.
Mengulas jumlah kerusi yang bakal ditandingi PN pada PRN Melaka, Tuan Ibrahim mengesahkan ia melebihi empat kerusi.
“Lebih daripada empat,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata PN masih menunggu keputusan mahkamah yang dijadualkan pada Isnin depan berhubung isu penggunaan logo parti.
Beliau berkata, pihaknya memohon mahkamah menentukan sama ada surat yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berkaitan perkara itu boleh dikuatkuasakan atau sebaliknya.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu dinantikan bagi mendapatkan kepastian mengenai kedudukan penggunaan logo berkenaan.
“Kita masih menunggu keputusan mahkamah Isnin depan. Kita mohon mahkamah membuat keputusan sama ada surat JPPM itu berkuat kuasa atau tidak,” katanya.


