Bajet 2027: Tuan Ibrahim bangkit isu sambungan LPT, tebatan banjir

KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan beberapa isu utama masih memerlukan perhatian dalam Belanjawan 2027, terutama berkaitan penyambungan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), keseimbangan pembangunan antara wilayah serta persediaan menghadapi kesan perubahan iklim.

Beliau berkata, walaupun kerajaan menyentuh pelbagai perkara dalam belanjawan kali ini, hala tuju untuk meneruskan pembinaan LPT masih tidak diperincikan.

Katanya, pembangunan lebuh raya berkenaan perlu diberi perhatian kerana mempunyai kepentingan kepada penduduk Pantai Timur, selain rancangan penyambungannya pernah dijanjikan sebelum ini.

“Secara keseluruhannya, saya melihat belanjawan ini baik dan banyak perkara telah dibangkitkan. Bagaimanapun, satu perkara yang sering menjadi persoalan ialah rancangan kerajaan untuk menyambung Lebuhraya Pantai Timur yang tidak disentuh langsung.

“Belanjawan sepatutnya merangkumi isu-isu utama yang memberi kesan kepada rakyat. Ketika ini, LPT hanya sampai ke Terengganu. Jadi, bila penyambungannya akan dilaksanakan sedangkan perkara itu sudah pernah dijanjikan?” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim berpendapat perancangan pembangunan wilayah masih belum menunjukkan keseimbangan yang ketara dalam belanjawan berkenaan.

Beliau turut menekankan kepentingan memberi perhatian lebih besar kepada isu perubahan iklim, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur tebatan banjir bagi menghadapi risiko bencana yang semakin mencabar.

Menurutnya, sistem tebatan banjir perlu dibangunkan berdasarkan keperluan semasa dengan mengambil kira peningkatan tahap perlindungan daripada aras kejadian berulang purata 50 tahun (ARI) kepada 100 tahun.

“Sekarang ini, keperluannya sudah meningkat kepada 100 tahun ARI. Ini bermakna peruntukan perlu ditambah sehingga sekali ganda berbanding sebelumnya. Jika tidak, usaha yang dilaksanakan mungkin tidak berkesan.

“Keadaan banjir sekarang sudah melebihi kemampuan yang dirancang berdasarkan tempoh 50 tahun. Jika peruntukan tidak ditingkatkan secukupnya, kita mungkin membina kemudahan tebatan banjir tetapi akhirnya gagal mencapai tujuan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat