KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan sebanyak RM12.44 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM40 juta berbanding RM12.40 bilion yang diperuntukkan pada tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun peningkatan itu kecil, beliau memahami kedudukan kewangan negara dan menghargai peruntukan yang disediakan untuk kementeriannya.
“Walaupun hanya terdapat sedikit tambahan peruntukan yang diberikan kepada kementerian kami, saya fikir kita memahami kedudukan kewangan negara dan menghargai tumpuan yang diberikan kepada kementerian kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.
Jelasnya, peningkatan itu bersamaan 0.34 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya.
Daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM12.44 bilion, sebanyak RM4.612 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM7.833 bilion diperuntukkan untuk pembangunan.
Mengulas mengenai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Zahid berkata kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RM8 bilion berbanding RM7.9 bilion sebelum ini.
Menurutnya, menerusi pelaksanaan TVET 2.0, kementerian akan memberi tumpuan kepada latihan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang robotik serta bidang lain yang menawarkan peluang pekerjaan dan mempunyai permintaan dalam pasaran kerja.
“Kita memberikan tumpuan kepada TVET 2.0 untuk menyediakan TVET berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang robotik dan aspek yang memberikan peluang pekerjaan.
“Kita juga akan menambah kursus yang bersesuaian dan mempunyai kebolehpasaran lebih tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahid turut mengulas pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaksanaan gaji minimum yang menurutnya hanya melibatkan syarikat dengan nilai urus niaga melebihi RM50 juta setahun.
Beliau turut menyambut baik inisiatif pemberian gaji premium kepada graduan dan individu yang mempunyai kelayakan kemahiran, sambil menyifatkannya sebagai perkembangan positif buat golongan berkenaan.
“Ini merupakan satu perubahan yang pada hemat saya sangat disambut baik oleh para graduan dan juga mereka yang mempunyai kelayakan kemahiran,” katanya.



