KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mengambil sikap berdiam diri berhubung isu surat cara proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail juga memilih untik enggan mengulas mengenai hasil pertemuannya dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama tiga Naib Presiden pada Khamis lalu.
Beliau hanya tersenyum apabila diajukan soalan sebelum berlalu memasuki kenderaan rasmi dan beredar selepas melancarkan Kembara Program Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) di Kediaman Rasmi Menteri Besar, lapor Harian Metro di Seremban pada Isnin,
Pertemuan antara Ismail dengan Zahid dilaporkan berlangsung kira-kira jam 4 petang di sebuah bilik khas ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur.
Pertemuan itu susulan kenyataan Zahid sebelum ini yang mahu mendapatkan penjelasan daripada Ismail berhubung dakwaan Menteri Besar berkenaan dipaksa menandatangani dokumen surat cara proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz, yang berlaku di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.



