Jawab jujur, adakah Pas mahu Najib diampun? – DAP Johor

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Ali menuntut penjelasan jujur daripada Pas, adakah parti Islam itu mahu Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Beliau meminta Pas menyatakan pendirian dengan jelas supaya rakyat boleh menilai sendiri.

Kata Sheikh Omar, di mana sebenarnya Pas berdiri dalam soal keadilan, akauntabiliti dan pertanggungjawaban terhadap wang rakyat.

“Saya membaca kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang bertanya; “Siapa meminta supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan?”.

“Bagi saya persoalan yang lebih wajar ialah; “Adakah Pas mahu Najib diampun?”.

“Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong perkenan penangguhan itu. Kenyataan rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri telah nyatakan tiada mana-mana pihak lain yang campur tangan.

“Soalan Takiyuddin seolah-olah cuba membina persepsi, wujud campur tangan pihak lain. Beliau pun tidak mengemukakan bukti,” katanya.

Sheikh Omar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Eksekutif DAP Pusat mencadangkan, lebih baik Pas berterus terang mengenai pendirian mereka sendiri.

“Adakah Pas mahu Datuk Seri Najib diberikan pengampunan selepas beliau disabitkan dalam kes SRC dan 1MDB? Itu lebih wajar dijawab oleh Takiyuddin dan Pas.

“Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memutuskan pengurangan hukuman penjara kepada 6 tahun dan denda kepada RM50 juta.

“Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi pula mensabitkan Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB. Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion. Najib telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

“Maka soalan saya kepada Takiyuddin sangat mudah. Adakah Pas berpendirian Najib wajar diberikan pengampunan? Jika ya, nyatakan secara terbuka. Jika tidak, nyatakan juga dengan jelas.

“Jangan cuba alih isu. Jangan bina persepsi jahat. Nyatakan pendirian Pas dengan jelas supaya rakyat boleh menilai sendiri. Di mana sebenarnya Pas berdiri dalam soal keadilan, akauntabiliti dan pertanggungjawaban terhadap wang rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat