KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar pada Isnin depan, 26 Okt 2026.
Menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pembubaran tersebut bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dilangsungkan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR dijangka bersidang dalam masa terdekat bagi membolehkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Sarawak diputuskan.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang media khas beliau di Kompleks Satria Pertiwi, lapor Astro Awani di Kuching pada Jumaat.
Turut hadir, seluruh anggota Kabinet Sarawak.
Terdahulu, pada jam 3 petang, Abang Johari telah menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri untuk memaklumkan pembubaran tersebut.
Ini merupakan kali kedua Abang Johari memimpin partinya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyertai PRN.
Dalam PRN Sarawak ke-12, GPS menang besar, 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Pun begitu menjelang akhir penggal, kerusi tersebut bertambah kepada 79 apabila salah satu parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibubarkan dan tiga wakil rakyatnya yang juga pemimpin utama parti itu menyertai salah sebuah parti komponen GPS, Parti Progresif Demokratik (PDP).
Seorang lagi wakil rakyat parti tersebut, terlebih dahulu mengisytihar keluar parti dan menjadi wakil Bebas tetapi mesra GPS.



