KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam di seluruh negara ini menjemput semua untuk bersama.
Namun, Akmal menjelaskan, penggerak utama untuk himpunan ini adalah dari Umno dan Pas selaku dua parti Melayu Islam terbesar di tanah air.
“Untuk makluman kita tidak pernah menutup atau menghadkan himpunan perpaduan Ummah ini untuk mana-mana parti ataupun organisasi
Himpunan ini melibatkan semua tidak kira parti atau bangsa.
“Selagi mana ia bertujuan untuk menyatukan ummah,maka semua dijemput untuk bersama
“Hanya yang kita katakan, penggerak utama untuk himpunan ini adalah dari Umno dan Pas selaku dua parti melayu Islam terbesar di tanah air kita,” jelas beliau.
Menurut Akmal lagi, Himpunan Perpaduan Ummah ini adalah himpunan kita semua.
Sebelum itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Himpunan Perpaduan Ummah yang mensasarkan sejuta umat Islam tidak boleh sekadar menjadi himpunan antara ahli Umno dan Pas semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, pintu himpunan itu perlu dibuka kepada semua yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.



