KUALA LUMPUR – Pas beranggapan penangguhan permohonan Datuk Seri Najib Razak di hadapan Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut tidak akan berlaku secara sendirinya melainkan terdapat arahan dan/atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada dari kalangan ahli-ahli Lembaga ataupun dari mana-mana pihak ketiga lain yang berkepentingan.
Justeru, Pas menuntut pihak kerajaan dengan segera menjelaskan perkara ini kepada umum kerana ia adalah suatu isu berkepentingan awam (public interest) yang tidak wajar dihalang dari pengetahuan rakyat jelata.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas merujuk kepada kenyataan media dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) bertarikh 11 September 2026 berhubung dengan perjalanan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah diadakan pada 11 September 2026 yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim.
“Kenyataan tersebut turut menyatakan Yang di-Pertuan Agong juga berkenan supaya permohonan pengampunan Najib, bekas Perdana Menteri, ditangguhkan ke suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan lain yang akan diadakan kelak.


