Oleh Zihan Zari
KUCHING – Perlindungan kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab ibu bapa atau kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan seluruh masyarakat bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat, terlindung dan sejahtera, tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hjh. Nancy Shukri.
Nancy berkata, seramai 10,904 kanak-kanak telah direkodkan sebagai memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada 2025, manakala 6,266 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Perkembangan ini menunjukkan usaha memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan, dengan penglibatan semua pihak termasuk komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Kebangsaan 2026 di Riverside Majestic Hotel, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, Mohd Daud Mohd Arif; Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan; dan Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak JKM, Dr. Sopian Hj. Brahim.
Simposium PPKK bertemakan ‘Melakar Perlindungan Inklusif Menuju Generasi Sejahtera’ dianjurkan oleh KPWKM melalui JKM merupakan wadah memperkukuh peranan PPKK serta mempererat kerjasama semua pihak dalam membina ekosistem perlindungan kanak-kanak yang lebih kukuh demi melahirkan generasi masa hadapan yang sejahtera dan berdaya saing.
Menurut Nancy, bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 1,225 anggota daripada 141 PPKK dan 1,174 anggota daripada 138 Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) telah dilantik bagi memperkukuh jaringan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di komuniti.
Menurutnya lagi, JKM turut melaksanakan projek rintis 15 PAKK sebagai Hab Perkhidmatan Kanak-Kanak atau One Stop Center menerusi Dasar Baharu Tahun 2026. Inisiatif berkonsepkan 1 PAKK 1 merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi setiap negeri untuk manfaat kanak-kanak dalam komuniti setempat.
“Pada 2025, sebanyak 3,419 program dan aktiviti telah dilaksanakan melalui kerjasama PPKK, PAKK, agensi kerajaan dan rakan strategik, memberi manfaat kepada 107,953 kanak-kanak.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 1,580 program dan aktiviti dilaksanakan dan memberi manfaat kepada 29,754 kanak-kanak, ”katanya.
Beliau menyeru PPKK agar terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ komuniti dengan mengenal pasti lebih awal kanak-kanak yang berisiko, menyalurkan maklumat dengan segera serta memperkukuh usaha advokasi dan pencegahan secara berterusan di peringkat komuniti.
Katanya, PPKK bersama PAKK dapat memperluaskan lagi program advokasi ke kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), kawasan estet, perkampungan Orang Asli, kawasan pedalaman serta lokaliti lain yang memerlukan perhatian khusus.
“PPKK diharap terus memainkan peranan aktif dalam menyokong proses pengintegrasian semula kanak-kanak yang kembali ke pangkuan keluarga selepas menerima perkhidmatan di institusi kebajikan kendalian JKM.
“Kerjasama rapat bersama pegawai JKM melalui pemantauan berkala, pengesanan awal keperluan intervensi serta penghubungan keluarga denganperkhidmatan sokongan yang bersesuaian amat penting bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terus terpelihara, ”katanya lagi. – SUARA.TV



