FIMI Berjaya Tarik RM2.75 Bilion Pelaburan Asing – Fahmi

KUALA LUMPUR,  – Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) berjaya menarik anggaran RM2.75 bilion pelaburan asing bagi tempoh 2013 hingga 2025, sekali gus mewujudkan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pencapaian itu memperlihatkan peranan industri perfileman dalam merancakkan pelaburan, membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian produksi antarabangsa.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus menarik produksi antarabangsa untuk menjalankan penggambaran di negara ini.

“Dari Januari hingga Julai 2026, sebanyak 175 produksi antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran menerusi inisiatif Malaysia: A Filming Destination & Production Hub,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu dalam jawapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat pada Khamis.

Fahmi berkata kerjasama dengan Hasbro Entertainment, penerbit Transformers, dan Banijay Nordic, penerbit Survivor, turut membuka ruang kepada pekerjaan berkemahiran tinggi serta pemindahan pengetahuan kepada tenaga kerja tempatan.

Kerjasama berkenaan juga membolehkan syarikat Malaysia memperluas penyertaan dalam rantaian nilai ekonomi kreatif global.

Dalam bidang pascaproduksi, beliau berkata Malaysia terus memperkukuh keupayaannya melalui FINAS Digital Mixstage Studio yang dilengkapi teknologi audio Dolby Atmos dan mendapat pengiktirafan Dolby.

Menurut FINAS, fasiliti berkenaan mempunyai sistem Dolby Atmos paling terkini di Asia Tenggara, sekali gus membolehkan penghasilan reka bentuk bunyi bertaraf antarabangsa.

Fahmi berkata kemudahan itu menyokong pembangunan tenaga mahir tempatan serta usaha menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan pascaproduksi serantau.

Beliau turut menegaskan bahawa manfaat industri kreatif perlu dilihat secara menyeluruh kerana setiap produksi melibatkan rantaian tenaga kerja, perusahaan dan perkhidmatan yang menyumbang kepada ekonomi negara. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat