KUANTAN — Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 akan sampai ke penghujung saingan menerusi perlawanan akhir dan majlis penutupan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur di sini, Ahad ini.
Perlawanan kemuncak pada 13 September itu bakal menyaksikan penentuan juara sulung Piala Al-Sultan Abdullah selepas kejohanan yang bermula sejak Jun lalu menghimpunkan 105 pasukan dari seluruh daerah di Pahang.
Menurut pihak penganjur, program pada hari berkenaan akan bermula seawal jam 4 petang dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada orang ramai sebelum aksi final berlangsung.
Penganjuran liga itu bukan sekadar menjadi medan untuk mengenal pasti serta mengetengahkan bakat baharu dalam sukan bola sepak di peringkat akar umbi, malah turut berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat menerusi aktiviti sukan.
Kejohanan berkenaan juga dijangka memberi impak positif kepada komuniti setempat dengan menghidupkan aktiviti masyarakat serta membantu merancakkan ekonomi melalui kehadiran pasukan dan penyokong dari seluruh negeri.
Bagi menambahkan kemeriahan majlis penutup, penganjur turut menampilkan persembahan daripada barisan artis dan pemuzik tempatan antaranya Azlan & Typewriter, Tam Spider, Ara Johari, Baggio Damasutra, Kid yang juga gitaris Search serta Arghpiez.
Selain menyaksikan aksi final dan persembahan pentas, pengunjung yang hadir turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang disediakan.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk sebuah Proton Saga sebagai hadiah utama, selain dua buah motosikal, tiga telefon bimbit dan 200 biji bola.
Orang ramai boleh memasuki Stadium Darul Makmur secara percuma dan khususnya peminat bola sepak di Pahang dialu-alukan hadir bagi menyaksikan aksi penentuan juara selain memeriahkan kemuncak kejohanan itu.
Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah diwujudkan sebagai satu inisiatif pembangunan bola sepak akar umbi dengan menyediakan peluang kepada pemain serta bakat tempatan untuk menguji kemampuan dalam kejohanan yang melibatkan penyertaan dari seluruh Pahang.
Sebarang perkembangan dan maklumat terkini mengenai kejohanan boleh diikuti menerusi saluran media sosial rasmi Liga Pahang First di Facebook, Instagram, TikTok dan Threads menggunakan akaun @ligapahangfirst.



