AI berisiko lebarkan jurang antara negara maju dan membangun – Fahmi

DOHA, 11 November – Kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) berisiko melebarkan ketidaksamaan antara negara maju dan membangun sekiranya akses kepada kuasa pengkomputeran terus tertumpu kepada negara tertentu, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, cabaran itu kini melangkaui jurang digital tradisional yang selama ini lebih tertumpu kepada akses Internet dan perkhidmatan digital.

Menurutnya, ketika negara-negara berlumba-lumba memanfaatkan AI, akses tidak seimbang kepada sumber pengkomputeran boleh menyebabkan negara membangun, khususnya di Selatan Global, semakin ketinggalan.

“Satu daripada mesej yang kami dengar amat menarik, bahawa kita bukan sahaja bercakap tentang jurang ketersambungan atau jurang digital. Ia kini benar-benar menjadi jurang pengkomputeran.

“…ini amat mencabar dan sekiranya banyak negara, terutamanya di Selatan Global, tidak bersaing seiring dan tiada mekanisme untuk kita mengimbanginya, maka kita akan melihat jurang yang semakin melebar antara mereka yang memilikinya dan mereka yang tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual di luar Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 atau PP-26 di sini, semalam.

Fahmi berkata, kepantasan perkembangan AI turut memberikan cabaran besar kepada kerajaan untuk memastikan rangka kerja kawal selia sentiasa seiring dengan kemajuan teknologi.

Menurutnya, Setiausaha Agung ITU, Doreen Bogdan-Martin, turut mengetengahkan betapa besarnya perubahan yang boleh berlaku dalam teknologi AI dalam tempoh setahun sahaja, sekali gus menuntut kesiapsiagaan kerajaan menghadapi risiko baharu.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengimbangi usaha menggalakkan inovasi dengan penyediaan perlindungan yang mencukupi kepada perniagaan, pasaran dan orang awam.

“Satu daripada cabaran terbesar ialah memastikan pengawalseliaan seiring dengan jenis kemajuan teknologi yang kita lihat sekarang.

“Kita tidak mahu menghentikan inovasi dan kemajuan teknologi, tetapi ia mesti seimbang,” katanya.

Dalam hubungan itu, Fahmi berkata, perkembangan agentic AI, iaitu sistem AI yang mampu melaksanakan tugas dan membuat keputusan dengan lebih autonomi, membawa peluang besar serta potensi risiko yang perlu ditangani.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dengan industri bagi membentuk garis panduan dan batas penggunaan teknologi berkenaan supaya manfaatnya dapat dinikmati manusia.

“Ketakutan terbesar dan peluang terbesar sebenarnya terletak pada apa yang boleh dilakukan oleh agentic AI, apa yang tidak sepatutnya dilakukan dan bagaimana kerajaan boleh memainkan peranan dalam melibatkan pihak industri, untuk membina batasan (garis panduan) bagi memastikan penggunaan teknologi AI akan memberi manfaat kepada umat manusia,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, Malaysia berusaha untuk dipilih semula sebagai anggota Majlis ITU bagi meneruskan sumbangan pengalaman dan perspektif negara dalam perbincangan telekomunikasi antarabangsa, khususnya mewakili sudut pandang Asia Tenggara dan Selatan Global.

Katanya, Malaysia yang menjadi ahli ITU sejak 1958 mempunyai pengalaman berharga untuk dikongsi, termasuk dalam bidang standard teknikal, kepercayaan digital dan saling kendali.

Beliau berkata, penyertaan dalam ITU menyediakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara negara serta membangunkan penyelesaian kepada cabaran landskap telekomunikasi global yang semakin kompleks.

Fahmi turut memuji penganjuran PP-26 oleh Qatar serentak dengan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026, yang membuka peluang kepada peserta meneroka teknologi baharu serta berinteraksi dengan menteri dan badan pengawal selia telekomunikasi dari pelbagai negara.

Menurutnya, pertemuan itu membolehkan negara peserta memahami cabaran bersama dengan lebih mendalam dan meneroka penyelesaian praktikal menerusi kerjasama antarabangsa. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat