KESS sasar hidupkan semula aura bola sepak Kelantan, Kelantan City FC diberi suntikan RM2 juta

Kehangatan bola sepak Kelantan yang suatu ketika dahulu begitu dekat dengan jiwa penyokong kini cuba dihidupkan kembali menerusi kerjasama antara Kedai Emas Sri Semantan (KESS) dan Kelantan City FC apabila syarikat berkenaan tampil sebagai penaja utama pasukan itu bagi saingan Liga A1 Semipro musim ini dengan suntikan dana berjumlah RM2 juta secara tunai.

Namun, di sebalik nilai tajaan yang besar itu, langkah KESS dilihat bukan sekadar satu bentuk pelaburan dalam arena bola sepak, sebaliknya membawa misi yang lebih luas untuk mendekati komuniti penyokong serta membantu membina semula keyakinan terhadap kemampuan bola sepak negeri Kelantan untuk kembali menjadi antara kuasa yang disegani dalam persada bola sepak tempatan.

Pengerusi KESS berkata, keputusan untuk memilih Kelantan City FC dibuat selepas pihaknya melihat sendiri keunikan serta kekuatan penyokong Kelantan yang mempunyai hubungan begitu rapat dengan pasukan kesayangan mereka, selain semangat mereka yang dianggap selari dengan nilai komuniti yang diterapkan oleh KESS dalam menjalankan perniagaan.

Menurutnya, keghairahan penyokong Kelantan terhadap bola sepak bukan sesuatu yang mudah ditemui kerana sokongan mereka mampu terus hidup walaupun pasukan berdepan pelbagai cabaran, sekali gus menjadi antara sebab utama KESS melihat kerjasama tersebut sebagai satu peluang untuk bersama-sama mengembalikan suasana meriah yang pernah mewarnai bola sepak negeri berkenaan.

“Pertama kalau kita lihat kepada fenomena ruang ini punya vibe itu amat memuaskan dan melekat jiwa saya pada penyokong itu. Jadi kekuatan penyokong itu sesuai dengan yang kami terapkan di Kedai Emas Sri Semantan iaitu komuniti.

“Sokongan mereka amat padu dan itu membuatkan saya menaja pasukan Kelantan City untuk Liga A1,” katanya.

Kerjasama tersebut juga bukan pengalaman pertama KESS dalam memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak profesional kerana sebelum ini syarikat berkenaan pernah menyalurkan tajaan bernilai RM4 juta kepada Sabah FC yang beraksi dalam Liga Super, namun kali ini tumpuan diberikan kepada Kelantan City FC dengan harapan pasukan itu mampu menggunakan peluang berkenaan untuk membina asas yang lebih kukuh sebelum melangkah ke tahap lebih tinggi.

Apa yang menarik, sokongan KESS tidak terhenti pada musim ini kerana syarikat itu sudah menyatakan kesediaan untuk meningkatkan jumlah tajaan sekiranya Kelantan City FC berjaya mendapatkan tiket ke Liga Super musim depan.

Jika sasaran tersebut berjaya direalisasikan, KESS bersedia menyediakan tajaan sehingga RM5 juta sebagai tanda sokongan terhadap usaha pasukan berkenaan untuk bersaing di pentas yang lebih besar, sekali gus menunjukkan bahawa penajaan tersebut dilihat sebagai satu komitmen yang boleh berkembang seiring dengan pencapaian pasukan.

“Seketika layak ke Liga Super tahun depan, insya-Allah kami di pihak KESS berbesar hati untuk menaja Kelantan City sebanyak RM5 juta,” katanya.

Dalam masa sama, KESS turut meletakkan sasaran yang jelas terhadap prestasi pasukan apabila mengharapkan Kelantan City FC mampu menamatkan saingan Liga A1 Semipro dalam kelompok tiga terbaik, malah jika mempunyai peluang, muncul sebagai juara pertandingan tersebut.

Bagi pihak penaja, kejayaan pasukan bukan hanya diukur melalui kedudukan dalam liga, sebaliknya turut dilihat daripada sejauh mana Kelantan City FC mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula minat terhadap bola sepak tempatan serta membuka mata lebih banyak syarikat korporat untuk memainkan peranan masing-masing dalam menyokong pasukan bola sepak di negeri-negeri lain.

“Kami di KESS dah tentulah nak pihak Kelantan City ini menjuarai ataupun mendapat tempat tiga terbaik di atas. Selain daripada itu, kami nak mengangkat martabat bola sepak di Kelantan serta menggalakkan sektor korporat lain turut serta membina bola sepak di negeri masing-masing,” katanya.

Dalam usaha membina pasukan yang lebih stabil, aspek kebajikan pemain turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian oleh pihak penaja, khususnya berkaitan pembayaran gaji yang sering menjadi isu dalam bola sepak tempatan apabila pasukan berdepan masalah kewangan.

KESS memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan dipandang serius dengan pembayaran gaji pemain dan staf dilakukan secara berkala, sekali gus memberi ruang kepada barisan pemain untuk memberikan sepenuh perhatian kepada latihan dan perlawanan tanpa terlalu dibebani kebimbangan mengenai soal kewangan.

“Yang itu saya memang cukup ambil berat. Pembayaran kita boleh buat setiap bulan secara berperingkat dan berkala. Saya yakin dengan kemampuan Kelantan City kerana mereka dibarisi anak muda yang mempunyai semangat luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Hafizal melihat kehadiran KESS sebagai satu suntikan semangat yang amat diperlukan Kelantan City FC dalam usaha membawa kembali aura bola sepak negeri tersebut, terutama dengan penglibatan individu yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak serta bekas pemain yang pernah mencipta sejarah bersama Kelantan.

Menurutnya, Kelantan City FC bukan sekadar mahu bersaing dalam Liga A1 Semipro, tetapi mempunyai cita-cita untuk menjadikan liga berkenaan sebagai medan membina sebuah pasukan yang mampu memberikan cabaran kepada pasukan di Liga Super pada masa akan datang.

Beliau berkata, penglibatan bekas pemain yang pernah membantu Kelantan mencipta kejayaan termasuk ketika meraih tiga kejuaraan dalam satu musim, selain sokongan daripada barisan pengurusan berpengalaman termasuk Tan Sri Annuar Musa, memberikan keyakinan bahawa pasukan tersebut mempunyai asas untuk membina kembali kekuatan bola sepak Kelantan.

“Liga A1 ini bukan Kelantan City sahaja yang ada, tetapi arena bola sepak negara kita sebelum ini dipegang oleh negeri Kelantan sebagai pembuka jalan.

“Kelantan City FC kini melibatkan bekas pemain yang pernah menjuarai tiga piala dahulu (X-Treble Kelantan) dan pengurusan turut dibantu oleh Tan Sri Annuar Musa,” katanya.

Menurutnya, sasaran utama mereka adalah untuk mengembalikan semula perasaan serta aura yang pernah menjadikan bola sepak Kelantan begitu dekat dengan masyarakat, dengan harapan penyokong kembali mempunyai alasan untuk memenuhi stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan yang membawa nama negeri itu.

“Kami ingin mengembalikan aura bola sepak Kelantan supaya Liga A1 bukan semata-mata liga amatur bawahan, tetapi mampu memberi cabaran kepada Liga Super,” jelasnya.

Selain sokongan kewangan, KESS turut melengkapkan Kelantan City FC dengan keperluan pasukan termasuk antara lima hingga enam rekaan jersi untuk kegunaan latihan dan perlawanan, selain menyediakan kasut kepada keseluruhan pemain serta staf.

Perjanjian persefahaman antara KESS dan Kelantan City FC sebelum ini telah dimeterai di Kota Bharu, sekali gus membuka lembaran baharu buat pasukan berkenaan yang kini bukan sahaja membawa impian untuk mencipta keputusan di atas padang, tetapi turut memikul harapan untuk menghidupkan kembali hubungan istimewa antara bola sepak, penyokong dan masyarakat Kelantan.

Dengan sokongan penaja yang bersedia meningkatkan pelaburan sekiranya pasukan berjaya melangkah ke Liga Super, perjalanan Kelantan City FC musim ini tentunya bukan sekadar mengenai mengejar mata dan kedudukan liga, sebaliknya menjadi ujian sejauh mana sebuah pasukan mampu menggunakan sokongan komuniti dan sektor korporat untuk membina semula nama besar bola sepak Kelantan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat