SEBERANG JAYA, – Hospital Seberang Jaya (HSJ) merupakan Hospital Level 2 pertama di Semenanjung Malaysia yang menjalankan prosedur koronari angiogram dan angioplasty. Hari ini merupakan hari yang penting dalam sejarah Negeri Pulau Pinang apabila Ketua Perkhidmatan Kardiologi Negeri Pulau Pinang serta Ketua Jabatan Kardiologi Hospital Pulau Pinang, Dato’ Dr Mohamed Jahangir Abdul Wahab, telah memulakan perkhidmatan rawatan jantung invasif, melibatkan prosedur angiogram dan angioplasti koronari bagi pesakit dewasa, pada Rabu, 4 November 2026 di Hospital Seberang Jaya.
Sebagai langkah permulaan, seramai lapan pesakit jantung telah menerima rawatan, dan empat pesakit mendapat rawatan angioplasty, sekali gus menandakan satu titik permulaan yang penting dalam usaha memperluas akses kepada perkhidmatan rawatan jantung khususnya kepada penduduk di Seberang Perai.
Perkhidmatan ini dijangka terus berkembang dengan pelaksanaan prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) serta rawatan elektrofisiologi (electrophysiology) bagi pesakit yang mengalami gangguan rentak jantung atau aritmia.
PERKEMBANGAN BERFASA KE ARAH PUSAT RAWATAN JANTUNG KOMPREHENSIF
Pembangunan perkhidmatan Kardiologi Dewasa di HSJ bermula secara berperingkat dengan kehadiran seorang pakar kardiologi pada tahun 2023, sebelum diperkukuh melalui penempatan pakar kardiologi secara berkala sehingga membawa kepada penubuhan sebuah Unit Kardiologi yang menyediakan perkhidmatan rawatan jantung lebih menyeluruh.
Kini, Unit Kardiologi HSJ dilengkapi pelbagai kemudahan khusus termasuk empat katil Unit Rawatan Koronari (CCU) dan 15 katil Wad Rawatan Koronari (CRW), selain sebuah Makmal Kardiologi Invasif yang dilengkapi sistem angiografi serta peralatan elektrofisiologi berteknologi moden.
Di samping itu, Klinik Kardiologi HSJ turut menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit luar serta pelbagai ujian diagnostik jantung termasuk ekokardiografi (echocardiography), ujian tekanan jantung (stress test) dan pemantauan rentak jantung menggunakan Holter.
KURANGKAN TEMPOH MENUNGGU DAN KESESAKAN HOSPITAL
Pengoperasian perkhidmatan ini dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya dalam mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan prosedur diagnostik dan intervensi jantung yang sebelum ini banyak tertumpu di Hospital Pulau Pinang.
Langkah strategik ini juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan serta wad-wad perubatan, di samping mempercepat akses kepada rawatan pakar dan meningkatkan kesinambungan penjagaan pesakit jantung.
Perkembangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan kesihatan negeri, khususnya Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Zulhizzam Hj. Abdullah, bersama Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr Shameni Sonusundram, dalam memperkukuh keupayaan fasiliti kesihatan awam bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat.
KERAJAAN DAN KKM SENTIASA PEKA TERHADAP DENYUT NADI RAKYAT
Sementara itu, Dato’ Dr Mohamed Jahangir Abdul Wahab, menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai manifestasi komitmen Kerajaan susulan daripada inisiatif, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti terus diperluas dan dapat diakses oleh rakyat.
“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen berterusan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang sentiasa peka terhadap denyut nadi serta keperluan rakyat, di samping responsif dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara.
“Dengan peningkatan beban penyakit kardiovaskular dan permintaan terhadap rawatan jantung yang semakin kompleks, peluasan perkhidmatan Kardiologi Dewasa di Hospital Seberang Jaya merupakan satu langkah strategik yang amat signifikan.
“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan pesakit mendapat akses kepada rawatan jantung yang berkualiti, tepat pada masanya dan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka, tanpa perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan,” katanya.
SASAR PERKHIDMATAN JANTUNG LEBIH KOMPREHENSIF MENJELANG 2027
Dato’ Dr Mohamed Jahangir Abdul Wahab juga menyifatkan pencapaian melangkah ke hadapan, perancangan jangka panjang turut dirangka bagi memperkukuh HSJ sebagai pusat rawatan jantung yang lebih komprehensif, termasuk pengendalian kes-kes kardiologi dewasa yang kompleks serta peluasan kepada perkhidmatan pembedahan kardiotorasik yang disasarkan menjelang pertengahan tahun 2027, tertakluk kepada kesiapsiagaan infrastruktur, peralatan dan sumber manusia.
Inisiatif ini bukan sahaja bakal meningkatkan kapasiti rawatan jantung di negeri Pulau Pinang, malah berpotensi menjadikan Hospital Seberang Jaya sebagai sebuah lagi pusat rujukan utama perkhidmatan kardiovaskular bagi wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Pembukaan perkhidmatan ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memastikan perkhidmatan rawatan jantung moden, berkualiti dan berkesan dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat, selaras dengan aspirasi KKM untuk memperkukuh sistem kesihatan awam yang inklusif, mampan dan berteraskan keperluan pesakit.


