Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Orang ramai dan peminat seni dijemput mengunjungi dan menghayati pameran Sketsa & Aksara: Sketches and Script yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara, Jalan Temerloh, off Jalan Tun Razak, dekat sini, sehingga Disember 2027.
Pameran ini yang dipersembahkan oleh Balai Seni Negara mengetengahkan sisi yang jarang diperlihatkan kepada khalayak, iaitu proses kreatif seseorang seniman sebelum terhasilnya sesebuah karya seni.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata, berbeza daripada kebiasaan yang hanya menampilkan karya akhir, Sketsa & Aksara menyingkap sebalik tabir proses kreatif seseorang seniman.
Ia sekali gus membawa pengunjung menyusuri perjalanan idea yang bermula daripada lakaran awal, catatan peribadi dan pelbagai bentuk eksperimen visual sebelum diterjemahkan ke dalam sesebuah karya.
“Selain itu, sebahagian daripada Koleksi Archival Balai Seni Negara yang mula dikumpulkan menerusi pengkhususan koleksi yang dikenali sebagai ‘Saksi dan Bukti’ pada 2004 turut diketengahkan dalam pameran ini.
“Sehingga 2026, sebanyak 14 koleksi arkib pelukis telah diperoleh dalam pelbagai bentuk, termasuk buku lakaran, manuskrip, helaian lukisan, fotografi dan objek peribadi yang memberikan gambaran lebih dekat tentang perjalanan kreatif seseorang seniman, ”kata kenyataan itu.
“Menerusi himpunan ini, pengunjung berpeluang memahami bagaimana ilham dan imaginasi diterjemahkan ke dalam bentuk visual, sekali gus menghargai kepentingan disiplin, latihan dan eksperimen dalam penghasilan karya seni.
“Pameran ini turut memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati kepentingan lakaran tangan sebagai titik awal dalam proses pengkaryaan, serta memahami nilai kreativiti manusia yang terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), ”katanya lagi.
Antara seniman yang diketengahkan dalam pameran ini, Chia Yu Chian, Abdul Latif Mohidin, Khalil Ibrahim, Redza Piyadasa, Fauzul Yusri, Mustapa Haji Ibrahim, Marvin Chan, Husin Hourmain, Roslisham Ismail, Tew Nai Tong, Marvin Chan, Mokhtar Ishak, Ahmad Azhari Mohd Noor (Jeri Azahari), Yusof Ghani, Gan Chin Lee, Zainol Abidin Ahmad Shariff, Hasnol Jamal Saidon, Amron Omar dan Rosbang Jailani.
“Pameran ini dibahagikan kepada dua komponen utama, iaitu ‘Sketsa’, yang menampilkan lakaran figura, komposisi, ekspresi dan imaginasi, serta ‘Aksara’, yang menumpukan kepada diari, puisi dan penulisan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatif seseorang seniman, ”menurutnya lagi.
Ujarnya, lebih daripada sekadar sebuah pameran seni, Sketsa & Aksara merupakan sebuah penghormatan yang merayakan proses penciptaan sebagai asas kepada penghasilan sesebuah karya.
“Pameran ini mengajak masyarakat untuk melihat seni daripada sudut yang lebih mendalam dengan menelusuri perjalanan idea, pemerhatian, eksperimen dan imaginasi yang membentuk identiti seseorang seniman, ”ujarnya lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai program atau pameran yang dianjurkan, sila layari www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Balai Seni Negara. – SUARA.TV



