KUALA LUMPUR – Maritim Malaysia (APMM) menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden yang mengorbankan seorang anggotanya ketika operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Sungai Padang, dekat Kuala Perlis, malam kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, siasatan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk diselesaikan.
Katanya, setiap operasi yang dilaksanakan APMM tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) tertentu dan anggota sentiasa diingatkan supaya mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.
“Jika berlaku sebarang kejadian yang melibatkan kecederaan atau kemalangan terhadap anggota mahupun aset, kita akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh ditambah baik untuk mengelakkan kejadian sama berlaku.
“Ia terutama berkaitan keselamatan warga APMM dalam setiap operasi yang dilaksanakan, selain latihan dan juga kelengkapan-kelengkapan diperlukan sentiasa diutamakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, menurut Kosmo di Kuala Nerang, semalam.
Beliau berkata, aspek SOP, latihan serta kelengkapan yang diperlukan anggota di lapangan turut diberi perhatian bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika melaksanakan operasi.
“Seperti yang semua sedia maklum, Menteri Dalam Negeri telah menyentuh perkara berkaitan kelengkapan, prosedur operasi standard (SOP) serta latihan yang perlu dipertingkatkan bagi warga APMM, khususnya anggota yang bertugas di lapangan ketika sidang Parlimen hari ini (semalam).
“Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa kita sentiasa memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah berdasarkan SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Katanya, kejadian itu tidak sesekali mematahkan semangat warga APMM, sebaliknya menyuntik semangat juang lebih tinggi untuk terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Dalam pada itu, APMM memberi jaminan kebajikan kepada keluarga anggota yang terkorban.
“Insya-Allah, kita akan memberikan bantuan sewajarnya termasuk berkaitan keperluan keluarga serta pendidikan anak-anak Allahyarham yang masih bersekolah,” tambahnya.
Media semalam melaporkan kejadian yang meragut nyawa seorang anggota APMM dan mencederakan tiga lagi anggota berlaku ketika mereka sedang mengejar bot membawa PATI.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bot dinaiki lima anggota dikatakan terlanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, dekat Kuala Perlis.
Seorang anggota iaitu Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan dari Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dengan kecederaan serius dipercayai pada bahagian kepala.



