KOTA BHARU – Seramai lebih 16,000 orang hadir ke Kelantan dan membanjiri Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung (PTPST) sempena cuti persekolahan yang bermula dari 28 Ogos hingga sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 pada 31 Ogos lepas.
Pengurus PTST Saidi Mamat berkata pulau yang semakin menjadi tarikan di Malaysia itu menerima pengunjung yang ramai kerana sambutan kemerdekaan kali ini jatuh semasa musim cuti persekolahan yang panjang iaitu Cuti Penggal 2 bagi sesi persekolahan tahun 2026.
“Syukur kerana Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung semakin dikenali orang ramai tidak sekadar di dalam negara malah dari luar negara dan kita menerima tetamu dari Singapura dan Indonesia,” katanya kepada Suara TV.
Selain itu, pada musim cuti persekolahan ini, waktu PTPST dibuka juga dilanjutkan bermula dari 28 Ogos secara berturut-turut sehingga hari merdeka untuk menampung permintaan yang tinggi dari orang ramai untuk datang ke pulau berkenaan.
Menurut beliau, pada waktu biasa pulau berkenaan hanya dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja ketika cuti hujung minggu negeri Kelantan.
Sementara itu, Pengurus Pemasarasan PTPST Mohamad Mazlan Ariff berkata pelbagai program disusun sempena hari kemerdekaan di PTPST antaranya ialah Pertandingan Memperagakan Pakaian Merdeka untuk kanak-kanak dan Pertandingan Bot dan Gerai Merdeka yang diadakan pada 29 Ogos.
“Pada hari merdeka sendiri, pelabagai acara juga diadakan di pasar terapung di sini untuk menjadikan suasana menyambut kemerdekaan lebih menarik bersama-sama dengan ribuan pengunjung yang berjumlah lebih 5,000 orang,” katanya.
Beliau berkata negeri Kelantan menjadi kunjungan orang ramai terutamanya dari Kuala Lumpur kerana kebanyakan warga kota mengambil keputusan datang ke Kelantan oleh kerana mengelak dari masalah jerebu yang melanda sekitar kawasan di Lembah Klang.
“Jika waktu cuti sekolah dan orang ramai, kami akan buka waktu operasi pulau untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk datang,” katanya.


