KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam atas pertimbangan keselamatan data dan kedaulatan digital negara merupakan langkah yang wajar disambut baik.
Menurut Ketua Penerangan Pas Fadhli Shaari, sememangnya keselamatan maklumat rakyat dan negara perlu dilindungi, khususnya daripada sebarang risiko pendedahan kepada entiti yang tertakluk kepada bidang kuasa Israel.
“Pada masa yang sama, kerajaan diminta menjelaskan asas keputusan ini memandangkan Waze bukan satu-satunya aplikasi yang mempunyai hubungan korporat secara langsung dengan Israel. Aplikasi seperti Moovit, Fiverr, Wix dan monday.com juga mempunyai hubungan sedemikian.
“Adakah larangan ini berdasarkan hubungan korporat dengan Israel semata-mata atau penilaian risiko keselamatan data yang khusus? Jika atas faktor keselamatan, adakah aplikasi lain yang mempunyai risiko serupa turut dinilai? soalnya.
Dalam pada itu, usaha membangunkan aplikasi tempatan seperti TuJu juga wajar disokong dengan memastikan keupayaan teknikal, ketepatan navigasi dan keselamatan datanya benar-benar terjamin.
“Keselamatan negara tidak boleh dikompromi. Dasar yang dilaksanakan mestilah jelas, konsisten dan berasaskan penilaian yang menyeluruh,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.



