KUALA LUMPUR – Pada 2 September lepas, Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan untuk memberikan Pengecualian Bayaran Lesen Penjaja mulai 1 Januari 2027.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam Siow Kong Choon dalam satu kenyataan berkata inisiatif itu diambil bukan sekadar mengecualikan bayaran lesen, ia adalah satu usaha untuk membantu periuk nasi rakyat.
“Kita memahami golongan penjaja dan peniaga kecil berdepan pelbagai tekanan kos. Maka, setiap ruang yang boleh membantu mengurangkan beban mereka perlu kita manfaatkan,” katanya di laman sosial Facebook.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (BN) Chennah, keputusan itu merangkumi pelbagai kategori penjaja iaitu penjaja pasar tani, kereta tolak, berpayung, berjentera dan trak makanan (food truck).
“Sebagai Exco yang turut bertanggungjawab terhadap Kerajaan Tempatan, saya melihat peranan PBT bukan hanya berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan, tetapi memastikan dasar ini benar-benar sampai dan memberi kesenangan kepada kehidupan masyarakat akar umbi,” katanya.
Beliau juga turut menyambut baik keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan bayaran tambahan konservasi di Taman Eko Rimba di seluruh Negeri Sembilan.
“Pendekatan kita jelas, pembangunan mesti bergerak seiring dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan mendengar.
“Kerajaan bertindak. Manfaatnya mesti dirasai rakyat,” katanya.
Siow memberikan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua pihak yang berkaitan untuk memastikan keputusan kerajaan negeri dilaksanakan dengan baik dan memberikan kesan positif kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Secara peribadi, saya merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Ismail Lasim, serta rakan-rakan Exco atas keputusan yang mengambil kira suara dan kepentingan rakyat, khususnya golongan penjaja dan peniaga kecil,” katanya.



