KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda antarabangsa, Yusuf Islam, yang terkenal dengan nama Cat Stevens, menziarahi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, susulan pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Menerusi catatannya di media sosial, Yusuf memaklumkan beliau turut membacakan al-Fatihah buat Allahyarhamah.
“Hari ini saya menziarahi Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia, yang baru kehilangan isterinya, Dr Hasmah, serta membacakan al-Fatihah.
“Mereka telah berkahwin selama 70 tahun. Dengan izin Allah, beliau kini berusia 101 tahun,” katanya.
Catatan ringkas itu turut menyorot tujuh dekad kehidupan bersama pasangan berkenaan, yang mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun.
Allahyarhamah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal negara dan dikenali melalui sumbangannya dalam bidang kesihatan awam serta kebajikan masyarakat.
Beliau turut mendampingi Tun Dr Mahathir sepanjang dua tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Sementara itu, Yusuf merupakan penyanyi dan penulis lagu kelahiran London yang mencipta kemasyhuran antarabangsa dengan nama Cat Stevens, terutama pada era 1970-an.
Antara lagu terkenalnya ialah Father and Son, Wild World, Peace Train dan Morning Has Broken, yang terus dikenali merentas generasi.
Dilahirkan dengan nama Steven Demetre Georgiou, beliau memeluk Islam pada 1977 sebelum menggunakan nama Yusuf Islam pada tahun berikutnya.
Selepas memeluk Islam, beliau memberikan tumpuan kepada pendidikan, kebajikan dan kegiatan kemanusiaan sebelum kembali aktif menghasilkan muzik.


