Oleh Zihan Zari
JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) melakar sejarah gemilang apabila menyapu bersih tempat pertama, kedua, dan ketiga dalam Pertandingan Showcase Final Year Project (FYP), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Peringkat Kebangsaan 2026 yang telah berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS, dekat sini baru-baru ini.
POLIMAS selaku tuan rumah turut meraih serta Anugerah Pembentang Terbaik. Kejayaan mutlak ini membuktikan dominasi padu serta keupayaan luar biasa pelajarnya dalam menghasilkan inovasi bermutu tinggi dalam pertandingan berprestij itu.
Dalam ekosistem pertandingan yang amat kompetitif itu, POLIMAS berjaya mengetepikan saingan daripada 23 produk inovasi yang membabitkan politeknik elit, iaitu Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Kuala Terengganu (PKT), dan Politeknik Mukah (PMU).
Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Hj. Mohd Daud Isa berkata, kualiti FYP adalah cerminan kepada kebolehan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menterjemahkan pembelajaran kuliah untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Mohd Daud berkata, teknologi yang baik perlu mudah digunakan, sesuai dengan kemampuan pengguna, dan boleh disenggara. Kita mahu melahirkan generasi TVET yang memahami apa yang dibangunkan, mengapa ia diperlukan, dan bagaimana keberkesanannya dapat dibuktikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Showcase FYP POLYCC Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan ‘Merentas Disiplin, Mencipta Impak, Memperkasa Komuniti’.
Terdahulu, Pengarah POLIMAS, Wan Zulkifly Wan Zakaria, telah menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan semua pihak dan menyifatkan penganjuran berskala kebangsaan ini sebagai platform terbaik memperkukuh jaringan strategik.
“Sebagai tuan rumah, warga POLIMAS amat berbesar hati menerima kehadiran seluruh delegasi dan peserta ke institusi kami.
“Kami melihat penganjuran program seperti ini bukan sahaja sebagai satu tanggungjawab, tetapi juga sebagai peluang untuk memperkukuh jaringan dan hubungan strategik dalam kalangan institusi POLYCC.
“Sesungguhnya, kekuatan ekosistem TVET bukan hanya terletak pada kemudahan dan teknologi, tetapi turut bergantung kepada jaringan, kolaborasi dan perkongsian kepakaran antara warga institusi,”katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah (Akademik) POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD) JPPKK, Zaidi Othman.
Dalam pada itu, kejayaan POLIMAS memenangi tempat pertama menerusi projek iTUMBUH mendapat reaksi yang amat positif daripada kumpulan pelajar yang membangunkan inovasi tersebut.
Ketua kumpulan pelajar projek iTUMBUH, Muhammad Akmal Mohd Ridzuan menzahirkan rasa syukur atas usaha keras mereka yang membuahkan hasil:
“Kami amat bersyukur dan terharu dengan pengiktirafan ini. Projek iTUMBUH dibangunkan berasaskan isu sebenar dalam komuniti bagi membantu memantau tumbesaran kanak-kanak serta mengesan risiko bantutan secara awal.
“Kemenangan ini adalah bonus buat kami, namun impak penyelesaian yang kami bawakan kepada masyarakat adalah matlamat utama kami yang selari dengan tema kebangsaan tahun ini, ”katanya.
Ulasan kedua daripada ahli kumpulan projek yang sama, Nurul Farhana Ahmad Fauzi, pula menekankan peranan bimbingan pensyarah dan kemudahan ekosistem pembelajaran di POLIMAS:
Nurul Farhana berkata, kejayaan meraih anugerah ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dana daripada BIPD serta bimbingan tanpa jemu daripada para pensyarah penasihat kami di POLIMAS.
Katanya, proses membentangkan projek berteraskan platform digital ini di hadapan panel penilai industri benar-benar menguji keupayaan kami, dan kami bangga dapat membuktikan bahawa inovasi pelajar TVET mampu berdaya saing di peringkat tertinggi.
Dalam perkembangan sama, program yang berlangsung selama dua hari ini digerakkan melalui tajaan peruntukan dana daripada BIPD, JPPKK.
Selain anugerah podium, showcase ini berjaya membuktikan keupayaan graduan semester akhir TVET dalam menguasai elemen teknologi masa kini termasuk kecerdasan buatan (AI), IoT, dan kelestarian hijau.
Senarai keputusan pemenang :
– Tempat Pertama : iTUMBUH: Integrated Child Growth Monitoring and Early Stunting Risk Assessment Platform (POLIMAS)
– Tempat Kedua: AHC PlaySpace (POLIMAS)
– Tempat Ketiga : Solar-Powered IoT for Automated Roof Irrigation and Thermal Reduction ( POLIMAS)
– Anugerah Khas : Pembentang Terbaik: BuddyShield (POLIMAS)
– Anugerah Khas : Produk Nilai Komersial: Meloncrunch: Watermelon Rind Pickled (PSIS)
-SUARA.TV



