KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, atas dakwaan tidak mengisytiharkan harta membabitkan wang berjumlah RM14 juta dan pelbagai mata wang asing lain, 5 jongkong emas seberat 5 kilogram, sekeping perak dan syiling emas.
Mata wang asing berkenaan terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta , ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AUD$352,850.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Bera itu hanya mengakui faham dan tidak mengaku salah serta minta dibicarakan, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Ismail Sabri membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Suzana Hussin dalam prosiding yang bermula kira-kira jam 9.35 pagi, lapor Astro Awani.
Ismail Sabri bagaimanapun dilihat tenang sepanjang prosiding.
Beliau didakwa memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Mengikut pertuduhan itu, notis berkenaan dihantar kepada beliau oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A.
Ismail Sabri dengan itu melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun; dan didenda tidak melebihi RM 100,000.



