Prabowo tidak akan hadir Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia Ke-14 berikutan isu jerebu?

KUALA LUMPUR – Isu jerebu rentas sempadan yang semakin meruncing serta tekanan demonstrasi domestik di Indonesia mungkin antara faktor yang menyebabkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, keberatan untuk menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia Ke-14 yang dirancang berlangsung di Pulau Pinang pada 30 dan 31 Oktober ini.

Menurut sumber sehingga kini bekas jeneral tentera itu dan kerajaan Indonesia masih belum memberikan maklum balas rasmi berhubung penyertaan Presiden republik itu dalam rundingan berkenaan. Ini sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin tidak menghadirinya.

Antara faktor utama yang dikaitkan dengan kemungkinan tersebut ialah isu jerebu akibat kebakaran hutan dan lahan di Indonesia yang semakin menjejaskan negara jiran, termasuk Malaysia.

Prabowo didakwa tidak bersedia berhadapan dengan tuntutan penjelasan daripada Malaysia mengenai langkah kerajaan Indonesia menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berlarutan, khususnya ketika kesannya semakin dirasai rakyat negara ini.

Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Prabowo sepatutnya membuka ruang kepada Malaysia untuk mendapatkan komitmen lebih tegas daripada Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan lahan yang menjadi punca pencemaran udara rentas sempadan.

Masalah jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah turut memberikan kesan kepada aktiviti ekonomi, pendidikan dan kehidupan harian penduduk di beberapa kawasan Malaysia.

Selain isu jerebu, tekanan politik domestik termasuk demonstrasi dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran Prabowo turut didakwa mempengaruhi pertimbangan Jakarta untuk mengesahkan kehadiran Presiden Indonesia itu.

Perkembangan politik dalaman berkenaan mungkin menyebabkan Prabowo lebih berhati-hati untuk meninggalkan negaranya ketika pentadbirannya berhadapan tekanan daripada pelbagai pihak.

Gabungan kedua-dua faktor itu menimbulkan persoalan sama ada Jakarta mahu mengelakkan pertemuan yang berpotensi memberikan tekanan tambahan kepada Prabowo, khususnya apabila Malaysia dijangka membangkitkan isu jerebu secara langsung.

Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia merupakan mekanisme diplomatik peringkat tertinggi yang menghimpunkan pemimpin kedua-dua negara bagi menilai kemajuan hubungan dua hala serta menyelesaikan isu-isu strategik yang memerlukan keputusan bersama.

Konsultasi Tahunan Ke-13 sebelum ini berlangsung di Jakarta pada 29 Julai 2025, melibatkan Anwar dan Prabowo dengan tumpuan kepada kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan, isu sempadan darat dan maritim, pekerja migran serta keselamatan serantau.

Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah Konsultasi Tahunan Ke-14 pada tahun ini sebagai kesinambungan kepada rundingan di Jakarta tahun lalu.

Persediaan bagi pertemuan tersebut turut dibincangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17 di Jakarta pada 4 Jun lalu.

Anwar sebelum ini turut memaklumkan bahawa beliau dan Prabowo telah bersetuju mengadakan pertemuan di Pulau Pinang bagi membincangkan isu jerebu, perdagangan dan hubungan dua hala.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan secara rasmi sama ada pertemuan di Pulau Pinang itu merupakan sesi Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia Ke-14.

Ketidakhadiran Prabowo, sekiranya berlaku, boleh menimbulkan persoalan mengenai kesediaan Jakarta menangani isu-isu yang memerlukan keputusan bersama pada peringkat kepimpinan tertinggi.

Setakat ini, Putrajaya dan Jakarta belum mengumumkan sebarang pembatalan rasmi rundingan berkenaan atau mengesahkan bahawa Prabowo tidak akan hadir.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat