Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menyempurnakan lafaz perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Raia Hotel & Convention Centre, dekat sini pada Isnin.
Pada majlis itu, Raja Muda Kedah berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memelihara ekosistem hutan paya laut.
Penerima berkenaan, Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Taman Nilam, Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang serta Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING).
Baginda turut berkenan melawat sembilan reruai yang mempamerkan pelbagai aspek berkaitan pengurusan, penyelidikan, dan pemuliharaan hutan paya laut.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Muhammad Sanusi Md Nor; EXCO Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Hj. Norizan Khazali; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah; Ketua Konservator Hutan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Zulkifli Suara; dan Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Hj. Othman Deris.
Bertemakan “Ekosistem Hutan Paya Laut Ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru”, majlis ini dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri.
Ianya menjadi wadah untuk memperkukuh kesedaran dan komitmen semua pihak terhadap kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan ekosistem hutan paya laut sebagai aset alam sekitar, ekonomi dan sosial negara.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata, sehingga tahun 2025, sebanyak RM71.3 juta telah diperuntukkan melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang sesuai di Pesisiran Pantai Negara bagi melaksanakan aktiviti penanaman, penyelenggaraan, penyelidikan, pemantauan serta kesedaran awam.
Katanya, sebanyak 3,965 hektar kawasan hutan paya laut di seluruh negara telah berjaya dipulihkan melalui penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau dan spesies yang sesuai, hasil komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara dan memulihara ekosistem pesisiran pantai.
“Bagi meneruskan agenda ini, sejumlah RM2.0 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) khusus bagi melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut serta kawasan pesisiran pantai bagi tahun 2026 melibatkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Usaha pemuliharaan hutan paya laut ini dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan JPSM, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta pelbagai pihak berkepentingan,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan aluan Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah.
Dalam perkembangan sama, penglibatan NGO dan komuniti setempat turut menjadi antara faktor penting dalam memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Sejumlah 12 NGO dan komuniti setempat telah memainkan peranan dalam menyokong usaha kerajaan menerusi aktiviti pendidikan alam sekitar, kesedaran awam dan pemuliharaan ekosistem.
Sambutan turut disokong dengan penganjuran Seminar Hutan Paya Laut dan Pesisiran Pantai Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 oleh JPSM dengan kerjasama FRIM yang telah menampilkan 12 kertas kerja dan 15 poster teknikal.
Platform ini menyediakan ruang kepada para penyelidik, pegawai teknikal, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan untuk berkongsi ilmu serta amalan terbaik bagi memperkukuh pengurusan ekosistem hutan paya laut negara.
Bersempena Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026, Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah telah menanam sebanyak 500 anak pokok bakau di Hutan Simpan (HS) Jerlun, pada AHAD. – SUARA.TV



