KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Perak kini sedang memberikan perhatian dan tindakan berterusan ke atas seekor gajah liar jantan dewasa yang dikatakan berkeliaran di kawasan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik sejak 17 Ogos lepas.
Di media sosial, viral sejak beberapa hari lalu tentang seekor gajah yang bernama Sulong yang dikatakan sedang berjalan untuk pulang ke tempat asalnya di Gua Musang selepas ia dipindahkan ke Gerik, Perak.
PERHILITAN dalam satu kenyataan semalam memaklumkan hasil pemantauan, gajah berkenaan ada kecederaan di kaki hadapan sebelah kanan tetapi keadaan fizikal dan tingkah lakunya masih normal, masih mampu makan dan bergerak dengan baik.
“Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukan tanda-tanda pemulihan.
“Jabatan PERHILITAN telah mengambil tindakan menggiring gajah tersebut kembali masuk ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya,” katanya.
Katanya, pemantauan dan tindakan menggiring akan dilakukan dua kali sehari setiap hari pada waktu siang dan malam kerana gajah berkenaan masih kembali berada di kawasan jalan raya.
PERHILITAN menasihatkan pengguna JRTB khususnya di sekitar Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa supaya memperlahankan kederaan khususnya dalam lingkungan 5 kilometer sebelum tiba di hentian berkenaan dari kedua-dua arah.
“Pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguatkuasa dan petugas sekiranya berada di kawasan pemantauan, tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik,” katanya.
Di media sosial, hangat diperkatakan tentang perjalanan gajah itu yang bernama Sulong untuk berjalan dari Gerik ke Gua Musang untuk kembali bersama kawanannya semula.



