Semua pihak perlu duduk semeja berbincang secara matang untuk fahami isu – TPM

KUALA LUMPUR – Perbezaan pendapat tidak sepatutnya menghalang semua pihak dari duduk bersama dan berbincang secara matang untuk mencari satu titik persefahaman bersama dalam apa sahaja isu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan bersama penting apabila melibatkan isu tentang sebuah institusi yang begitu dekat dengan umat Islam serta memikul amanah dan kepercayaan jutaan rakyat Malaysia.

Beliau mengulas program Musyawarah Nasional 2.0 yang diadakan semalam di ibu negara dengan tajuk ‘Realiti dan Persepsi : Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’.

“Saya mengikuti dengan penuh teliti keseluruhan perbincangan yang berlangsung sebentar tadi termasuk pandangan daripada ahli-ahli panel serta persoalan dan pandangan yang dikemukakan oleh para hadirin.

“Inilah sebenarnya semangat yang mahu kita bina melalui Musyawarah Nasional. Apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang besar dan menyentuh kepentingan ramai, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan apa yang kita dengar atau persepsi yang terbentuk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Menurut Ahmad Zahid semua pihak yang terlibat dalam sesuatu isu perlu duduk bersama-sama dan bertukar pandangan untuk memahami masalah yang ada dari setiap sudut sebelum membuat sebarang pendirian.

Dalam program semalam, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad tampi sebagai pembentang awal menjelaskan apa yang berlaku berkaitan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada tahun 2017 serta masalah melibatkan audit institusi itu.

Kemudian, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Siregar Abdullah pula membentangkan pandangannya melibatkan lapan isu berkaitan Tabung Haji.

Selepas itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga merupakan seorang Timbalan Menteri pada ketika itu tampil memberikan pandangannya pula.

Terdapat beberapa tuduhan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan ada unsur ‘sakau’ iaitu penyelewengan dan kecurian dana dilakukan oleh pihak tertentu dalam isu kandungan Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan sebelum ini.

Dalam pembentangan beliau semalam, Dr Madinah menjelaskan semasa menjadi Ketua Audit Negara, beliau tidak menemui apa-apa bukti ada berlaku penyelewengan atau kecurian dana melibatkan Tabung Haji.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat