SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menolak saman pemula yang difailkan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mendapatkan perintah pengosongan Balai dan Kediaman Rasmi Undang Luak Rembau serta Undang Luak Sungei Ujong.
Perkara itu dimaklumkan peguam Amir Azmi menerusi hantaran di Facebook petang ini.
“Alhamdulillah. Mahkamah Tinggi Seremban telah menolak saman pemula pengosongan Balai Undang Sungei Ujong dan Balai Undang Rembau yang difailkan oleh Kerajaan Negeri bagi pihak kononnya Undang baru dengan kos,” katanya.
Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini memfailkan saman secara berasingan pada 16 dan 17 Julai terhadap Abdul Rahim Yasin dan Datuk Mubarak Thahak.
Turut dinamakan sebagai responden ialah penghuni atau individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Sungei Ujong.
Menerusi saman berkenaan, kerajaan negeri memohon perintah bahawa ia berhak mendapatkan milikan kosong premis terbabit serta deklarasi bahawa responden atau mana-mana penghuni yang terus mendudukinya tanpa hak, lesen atau kebenaran adalah penceroboh.
Kerajaan negeri turut memohon supaya responden mengosongkan dan menyerahkan premis berkenaan dengan serta-merta.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak kerajaan negeri berhujah mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan kerana premis berkenaan merupakan tanah rizab awam.
Bagaimanapun, pihak responden membantah tindakan berkenaan, termasuk mempersoalkan locus standi kerajaan negeri untuk memfailkan saman tersebut.
Setakat ini, alasan penuh keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penolakan saman berkenaan belum diperoleh.
Keputusan hari ini merupakan perkembangan terbaharu dalam pertikaian berhubung institusi Undang Luak Rembau dan Sungei Ujong yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.



