KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini dengan kerjasama Content Forum telah mengadakan satu sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan penstriman video, termasuk Over-the-Top (OTT) dan Video-on-Demand (VOD), bagi memperkukuh pengurusan kandungan yang bertanggungjawab.
Sesi itu juga diadakan bertujuan untuk memastikan aspek sensitiviti agama, kaum, budaya dan sosial di Malaysia terus dihormati, demikian menurut MCMC dalam satu kenyataan.
MCMC memaklumkan sesi itu selaras dengan penekanan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmid Fadzil bahawa kebebasan perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menghormati nilai agama, keharmonian kaum dan sensitiviti budaya yang menjadi asas perpaduan negara.
“MCMC menekankan kepentingan langkah perlindungan yang berkesan oleh penyedia perkhidmatan, khususnya bagi melindungi kanak-kana daripada kandungan yang tidak sesuai.
“Langkah ini merangkumi semakan kandungan dalaman, pengelasan umur yang bersesuaian, kawalan ibu bapa dan mekanisme pengendalian aduan yang mudah diakses,” menurut MCMC.
Sesi tersebut turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
MCMC memaklumkan perbincangan dalam sesi itu merangkumi pematuhan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta garis panduan dan amalan pengelasan kandungan yang berkaitan.
“Perbincangan turut mengambil kira perbezaan kerangka kawal selia antara perkhidmatan OTT dan VOD denga penyiaran konvensional, di samping memberi ruang kepada pemain industri untuk mendapatkan penjelasan, berkongsi pandangan dan meneroka langkah penambahbaikan yang praktikal,” menurut kenyataan itu.
Antara pihak industri yang menyertai sesi ini ialah Netflix, Apple TV, Motion Picture Association (MPA), Asia Video Industry Association (AVIA), Astro (Astro GO dan Sooka), iQIYI, Media Prima Berhad (Tonton), MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Viu.
“Penyertaan ini mencerminkan penglibatan meluas penyedia kandungan serta persatuan industri tempatan dan antarabangsa.
“Keahlian AVIA turut merangkumi pemain industri antarabangsa utama seperti Disney, Amazon dan Warner Bros. Discovery (WBD),” katanya.
MCMC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan perlu mengurus kandungan secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang Malaysia yang terpakai.
MCMC dan Content Forum akan terus bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh kawal selia kendiri, perlindungan pengguna dan akauntabiliti bersama.
Kenyataan itu menyebut, walau bagaimanapun, tindakan kawal selia yang sewajarnya akan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.



