Teruskan kerjasama dengan PN di Melaka, jika Umno mahu kembali jadi PM – Bendahari Pas

KUALA LUMPUR – Umno perlu meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya mahu kembali menduduki kerusi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bendahari Pas Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, hasrat itu tidak akan tercapai sekiranya Umno meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana calon Perdana Menteri tetap daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan PN perlu diteruskan pada PRN Melaka bagi memastikan gelombang sokongan terhadap kedua-dua gabungan berlanjutan sehingga PRU.

“Saya rasa mood sokongan pengundi Melayu menjadi faktor utama. PRN Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan lebih 70 peratus pengundi Melayu menyokong gabungan BN-PN.

“Gabungan yang wujud ini perlu diteruskan di Melaka agar ia berlanjutan sehingga ke PRU akan datang. Jika ia terhenti di Melaka, ia tidak akan sampai kepada PRU.

“Maka hasrat Umno untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan kesampaian. Jika Umno mahu menjadi Perdana Menteri, teruskan kerjasama BN-PN,” katanya menurut Utusan pada Isnin.

Semalam, akhbar berkenaan melaporkan, Pas yang menerajui PN percaya proses rundingan dan kerjasama politik atas nama ‘Perpaduan Ummah’ dengan BN menjelang PRN Melaka lebih mudah berbanding PRN Johor.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sehingga kini wakil kedua-dua gabungan masih dalam perbincangan dan beliau difahamkan BN masih berbelah bahagi tetapi majoriti termasuk Ketua Pemudanya serta akar umbi bersetuju bekerjasama dengan PN.

Iskandar berkata, pihaknya yakin kerjasama BN-PN termasuk pembahagian kerusi dan calon dapat dimuktamadkan sebelum PRN Melaka.

Katanya, dua kerusi Parlimen yang dimiliki Pas dan satu kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkumi 14 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

“Jumlah itu membabitkan lima kerusi DUN di bawah Parlimen Masjid Tanah, empat di Parlimen Tangga Batu dan lima di Jasin.

“Kesemua 14 kerusi merupakan satu jumlah yang banyak dan Melaka ada 28 kerusi DUN secara keseluruhan.

“Oleh itu, BN perlu bekerjasama dengan Pas dan PN kerana sokongan rakyat yang tinggi terhadap gabungan ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat