Tablet hari ini bukan lagi sekadar peranti untuk menonton video atau melayari media sosial. Dalam dunia yang semakin bergantung kepada pembelajaran digital, kerja hibrid dan kandungan multimedia, sebuah tablet perlu mampu memainkan peranan sebagai buku nota, skrin hiburan, ruang kerja dan alat produktiviti dalam satu peranti.
Atas perubahan cara pengguna menggunakan teknologi inilah Siri HONOR Pad 20 diperkenalkan secara rasmi di seluruh negara. Dengan harga bermula RM1,999, siri terbaharu ini hadir menerusi dua model utama, iaitu HONOR Pad 20 dan HONOR Pad 20 Pro, masing-masing menawarkan pendekatan berbeza terhadap keperluan pengguna moden.
Namun, perkara paling menarik mengenai siri ini bukan sekadar saiz skrin atau kapasiti bateri. HONOR cuba meletakkan tablet ini sebagai sebuah peranti yang boleh menggantikan sebahagian fungsi komputer riba, buku nota dan skrin hiburan, khususnya bagi pengguna yang mahukan satu peranti mudah alih untuk menguruskan pelbagai tugasan.
Lebih menarik, pengenalan HONOR Pad 20 Pro di Malaysia membawa satu ciri yang jarang ditemui dalam kategori tablet Android, iaitu Paperlike Display. Kemasan matte anti-silau tersebut direka untuk memberikan pengalaman melihat dan menulis yang lebih hampir kepada permukaan kertas.
Perubahan gaya hidup digital menjadikan keupayaan melakukan pelbagai tugas sebagai antara perkara paling penting dalam memilih tablet. Pelajar perlu mengikuti kelas dalam talian sambil membuat catatan, pekerja pula mungkin perlu membuka dokumen, menyemak e-mel dan menyediakan pembentangan ketika berada di luar pejabat.
Siri HONOR Pad 20 cuba menangani keperluan tersebut dengan menawarkan pengalaman produktiviti yang lebih hampir kepada komputer.
Melalui PC Mode, pengguna boleh menghubungkan papan kekunci dan tetikus untuk mendapatkan antara muka ala desktop. Fungsi ini membolehkan tablet digunakan untuk menghasilkan dokumen, menguruskan fail dan menyelesaikan tugasan tanpa perlu sentiasa bergantung kepada komputer riba.
Keupayaan membuka sehingga 15 tetingkap pada masa yang sama juga memberikan fleksibiliti kepada pengguna yang biasa melakukan banyak perkara serentak. Saiz dan kedudukan setiap tetingkap boleh diubah mengikut keperluan, manakala fungsi split-screen tiga hala dan empat hala membolehkan beberapa aplikasi digunakan secara serentak.
Dalam konteks pelajar, misalnya, satu skrin boleh digunakan untuk kelas dalam talian, satu lagi untuk HONOR Notes dan ruang lain untuk bahan rujukan. Bagi pekerja pula, konfigurasi tersebut boleh digunakan untuk membuka dokumen, pembentangan dan bahan kerja secara serentak.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa HONOR tidak melihat tablet sebagai peranti yang hanya digunakan ketika bersantai, sebaliknya sebagai peralatan produktiviti yang boleh dibawa ke mana-mana.
Antara perbezaan paling ketara pada HONOR Pad 20 Pro ialah penggunaan Paperlike Display.
Bagi pengguna yang banyak membaca atau menulis menggunakan tablet, pantulan cahaya pada skrin berkilat boleh menjadi gangguan, terutama ketika digunakan dalam tempoh yang panjang. HONOR Pad 20 Pro mengambil pendekatan berbeza menerusi permukaan matte anti-silau yang direka untuk mengurangkan pantulan.
Kesan yang cuba dicapai adalah pengalaman membaca dan menulis yang lebih semula jadi. Ketika menggunakan stylus untuk mencatat nota, permukaan skrin memberikan sensasi yang lebih hampir kepada menulis menggunakan pen di atas kertas.
Ciri ini mempunyai nilai tersendiri untuk pelajar dan golongan profesional yang menjadikan tablet sebagai buku nota digital. Ia juga menjadikan HONOR Pad 20 Pro lebih menarik kepada pengguna yang banyak membaca dokumen, membuat anotasi atau menulis secara digital.
Dalam masa yang sama, skrin 12.1 inci dengan resolusi 3K memberikan ruang paparan yang luas untuk produktiviti dan hiburan.
HONOR Pad 20 menawarkan kadar segar semula 120Hz, manakala HONOR Pad 20 Pro membawa kadar segar semula sehingga 165Hz. Kadar segar semula tinggi bukan hanya memberi manfaat kepada permainan, tetapi turut menjadikan pergerakan pada skrin seperti menatal halaman web, membuka aplikasi dan bergerak antara menu terasa lebih lancar.
Bagi pengguna yang menggunakan tablet sebagai peranti hiburan, kombinasi skrin 3K dan sistem bunyi enam pembesar suara pula memberikan pengalaman yang lebih imersif ketika menonton kandungan penstriman.
Tidak menghairankan apabila siri ini turut diiktiraf oleh platform penstriman drama iQIYI sebagai Tablet Pilihan Utama, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peranti yang turut memberi penekanan terhadap hiburan.
Penggunaan tablet untuk tempoh panjang turut menjadikan keselesaan mata satu aspek yang semakin penting.
HONOR Pad 20 dilengkapi beberapa teknologi paparan termasuk Hardware-Level Low Blue Light, DC Dimming, Dynamic Dimming, AI Circadian Night Display, Nature Tone Display dan AI Defocus Display.
Teknologi tersebut direka untuk mengurangkan pendedahan kepada cahaya biru dan kerlipan skrin, selain membantu menyesuaikan pengalaman paparan berdasarkan keadaan pencahayaan dan waktu penggunaan.
Siri ini turut menerima pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light (Hardware Solution) dan Flicker-Free.
Bagi pengguna yang sering menggunakan tablet untuk membaca, mengikuti kelas atau bekerja pada waktu yang panjang, aspek seperti ini boleh menjadi sama penting dengan spesifikasi prestasi.
Satu lagi kelebihan utama siri ini ialah bateri berkapasiti 10,100mAh.
HONOR mendakwa kapasiti tersebut merupakan antara yang terbesar dalam kelasnya, dengan jangka hayat penggunaan yang direka untuk menyokong aktiviti sepanjang hari.
Menurut HONOR, tablet ini mampu menawarkan sehingga 71 hari masa siap sedia, sembilan jam main balik video, tujuh jam permainan, 10 jam penggunaan HONOR Notes dan sehingga 14 jam membaca.
HONOR Pad 20 menyokong pengecasan pantas berwayar 45W, sementara HONOR Pad 20 Pro menawarkan pengecasan lebih pantas sehingga 66W.
Bagi pengguna yang membawa tablet ke kelas, mesyuarat atau perjalanan, kapasiti bateri besar seperti ini memberikan lebih banyak kebebasan untuk menggunakan peranti tanpa terlalu kerap mencari soket kuasa.

Satu lagi sudut penting Siri HONOR Pad 20 ialah bagaimana HONOR mengintegrasikan AI ke dalam tugasan harian.
Melalui HONOR AI Memo, pengguna boleh merakam perbualan dan menukarkan pertuturan kepada teks secara masa nyata. Fungsi ini amat berguna untuk kuliah, kelas dalam talian, perbincangan atau mesyuarat yang memerlukan rekod kandungan.
Selepas transkripsi dibuat, AI Translation boleh membantu menterjemahkan kandungan ke bahasa pilihan pengguna, manakala AI Summary pula boleh mengubah perbincangan yang panjang kepada ringkasan yang lebih mudah dirujuk.
HONOR Notes turut mendapat beberapa ciri AI seperti AI Reading yang boleh membantu meringkaskan nota bertulis, menghasilkan ringkasan audio dan membina peta minda.
Bagi penulisan pula, AI Creation boleh membantu memperkemaskan kandungan, melaraskan panjang teks dan menyemak penulisan.
Pendekatan ini menjadikan AI lebih praktikal kerana pengguna tidak perlu menggunakan AI semata-mata untuk menghasilkan kandungan. Sebaliknya, AI digunakan untuk mengurangkan kerja berulang seperti mentranskripsikan rakaman, meringkaskan maklumat dan menyusun nota.
Pengguna hari ini jarang menggunakan hanya satu peranti. Mereka mungkin mempunyai telefon Android, komputer Windows dan komputer Mac pada masa yang sama.
Siri HONOR Pad 20 cuba mengurangkan batasan antara ekosistem tersebut melalui HONOR Connect, yang membolehkan dokumen, gambar, video dan fail dipindahkan antara peranti yang serasi.
Tablet ini juga boleh digunakan bersama Mac sebagai paparan kedua, memberikan ruang skrin tambahan untuk bekerja.
Bagi pengguna profesional, fungsi seperti ini boleh mengubah tablet daripada sekadar peranti tambahan kepada sebahagian daripada sistem kerja harian.
HONOR turut menyokong penukaran fail iWork seperti Pages, Numbers dan Keynote kepada format Microsoft Office, menjadikan proses berkongsi dan menyunting dokumen antara platform lebih mudah.
Dari segi kuasa pemprosesan, HONOR Pad 20 Pro menggunakan platform Snapdragon 8s Gen 4, manakala HONOR Pad 20 dikuasakan Snapdragon 7 Gen 3.
HONOR Pad 20 Pro ditawarkan dengan 16GB RAM dan 256GB storan, termasuk 8GB HONOR RAM Turbo. Model Wi-Fi HONOR Pad 20 pula hadir dengan 12GB RAM dan 256GB storan, termasuk 6GB HONOR RAM Turbo.
Bagi pengguna yang memerlukan sambungan mudah alih, HONOR Pad 20 5G menawarkan 16GB RAM dan 256GB storan, termasuk 8GB HONOR RAM Turbo.
Gabungan ini menjadikan ketiga-tiga konfigurasi tersebut sesuai untuk tugasan harian seperti produktiviti, pembelajaran, penstriman, permainan dan penggunaan aplikasi secara serentak.
Walaupun mempunyai ciri yang biasanya dikaitkan dengan tablet kelas lebih tinggi, HONOR turut memberi penekanan terhadap kemampuan milik.
HONOR Pad 20 Wi-Fi dijual pada harga RM1,999, manakala HONOR Pad 20 5G ditawarkan pada RM2,299. Model tertinggi, HONOR Pad 20 Pro, pula berharga RM2,499.
Lebih menarik, pelajar yang layak boleh menikmati diskaun pendidikan sebanyak 15%, menjadikan harga bermula serendah RM1,699.15.
Selain itu, pembeli boleh menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM898, termasuk papan kekunci pintar Bluetooth dan HONOR Magic-Pencil 4S.
Dengan aksesori tersebut, nilai sebenar tablet tidak lagi hanya bergantung kepada perkakasan utama kerana pengguna boleh terus membina sebuah setup yang lebih hampir kepada komputer mudah alih.
Secara ringkas, HONOR Pad 20 Wi-Fi lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan tablet produktiviti dan hiburan pada harga permulaan yang lebih rendah.
HONOR Pad 20 5G pula memberikan pilihan kepada mereka yang memerlukan sambungan mudah alih tanpa terlalu bergantung kepada Wi-Fi.
Sementara itu, HONOR Pad 20 Pro merupakan pilihan untuk pengguna yang mahukan spesifikasi lebih tinggi, kadar segar semula 165Hz, pengecasan 66W dan pengalaman Paperlike Display.
Kesemuanya berkongsi falsafah yang sama menjadikan tablet sebagai peranti serba boleh yang boleh digunakan untuk belajar, bekerja dan berhibur.
Apa yang cuba dilakukan HONOR menerusi Siri Pad 20 sebenarnya lebih besar daripada sekadar memperkenalkan tablet baharu.
HONOR cuba mengubah cara tablet dilihat sebagai peranti. Ia bukan hanya skrin kedua untuk menonton video, bukan hanya buku nota digital dan bukan juga sekadar alternatif kepada komputer riba.
Sebaliknya, Siri HONOR Pad 20 cuba menggabungkan kesemua fungsi tersebut dalam satu peranti.
Dengan skrin 3K, bateri 10,100mAh, sokongan papan kekunci dan stylus, PC Mode, fungsi AI, kesalinghubungan merentas ekosistem serta pilihan 5G, siri ini dibina untuk pengguna yang mahukan fleksibiliti tanpa perlu membawa terlalu banyak peranti.
Dan dengan HONOR Pad 20 Pro memperkenalkan Paperlike Display kepada pasaran Malaysia, HONOR turut memberikan satu sebab tambahan untuk pengguna yang menjadikan membaca dan menulis sebagai sebahagian besar daripada rutin harian mereka.
Siri HONOR Pad 20 kini boleh didapati di kedai dalam talian rasmi HONOR Malaysia, kedai rasmi HONOR di Shopee, Lazada dan TikTok Shop, serta rakan niaga sah termasuk Senheng, senQ, Harvey Norman dan Urban Republic. Model HONOR Pad 20 5G turut tersedia melalui CelcomDigi dan Maxis.
Bagi pengguna yang sedang mencari sebuah tablet untuk kegunaan lebih daripada sekadar hiburan, Siri HONOR Pad 20 jelas cuba menawarkan satu formula yang lebih lengkap satu peranti untuk belajar, bekerja, mencipta, berhubung dan berehat.


