KUALA LUMPUR – Permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak satu jongkong emas dan wang RM21 juta dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin Sdn. Bhd. ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas meneliti afidavit serta hujahan kedua-dua pihak.
Menurut beliau, SPRM selaku pemohon sebelum ini memohon perintah pelucuthakkan akaun bank itu di bawah Subseksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti 2001 (Akta 613/ AMLA).
“Pemohon mendakwa dana derma yang dikutip bagi membantu rakyat Palestin itu diseleweng dan responden (Aman Palestin) memindahkan sejumlah wang besar kepada sebuah syarikat bagi pelaburan tunai, harta dan pembelian emas.
“Selain itu, pemohon berhujah bahawa jongkong emas yang dibeli responden merupakan hasil berkaitan kesalahan predikat iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya memetik Kosmo di Shah Alam.
Tegasnya, SPRM gagal membuktikan wang dan jongkong emas berkenaan merupakan hasil perlakuan salah atau aktiviti haram.



