Ikan baung ekor merah ancam populasi ikan tempatan dan ekosistem sungai, sekiranya temui lapor kepada DOF – KP Perikanan

Oleh Zihan Zari

YAN – Orang ramai khususnya nelayan-nelayan sungai diseru melaporkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sekiranya menemui ikan asing atau ikan pemangsa invasif seperti ikan baung ekor merah di perairan umum dan sungai supaya kita boleh sama-sama turut merangka program untuk mengeluarkan populasi bilangan spesies ini, kata Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain.

Adnan berkata ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides adalah satu spesies ikan air tawar yang dilarang untuk dibawa masuk ke dalam negara ini.

“Kita dapati ikan ini membiak dengan amat cepat dan mengancam populasi ikan-ikan tempatan seperti ikan lampam, ikan kelah, ikan temelian, ikan baung dan sebagainya.

“Larangan import bagi spesies ikan tertentu telah wujud di bawah DOF melalui Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dsb., bagi Ikan) 1990 di bawah Akta Perikanan 1985, yang turut dikemas kini menerusi pindaan terkini termasuk pindaan pada tahun 2024.

“Jadi kita tidak benarkan ikan-ikan larangan ini, antaranya ikan arafaima, ikan aligatega, ikan pirana dan ikan baung ekor merah dibawa masuk ke negara kita.

“Ikan baung ekor merah terdapat dua spesies berasal daripada Sungai Mekong dan Sungai Amazon, kedua-dua spesies invasif ini dilarang kerana bersifat sangat agresif. Ikan ini telah pun terlepas dalam ekosistem kita dan telah membiak dengan cepat dan mengancam populasi ikan-ikan tempatan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pra Pelancaran Kampung Angkat MADANI (KAM) Jabatan Perikanan Malaysia di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Udang, dekat sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Kedah, Hj. Sukri Deris; dan Penghulu Mukim Yan, Mokhairuddin Mahamad, mewakili Pegawai Daerah Yan.

“Di pihak jabatan kita memang menggalakkan penglibatan pelbagai pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu mengeluarkan ikan ini daripada ekosistem.

“Kita bersama-sama dengan pelbagai pihak termasuk dengan komuniti masyarakat, telah menganjurkan program penangkapan ikan asing di peringkat negeri dan daerah.

“Terbaharu, kita telah melaksanakan program memburu ikan baung ekor merah di Negeri Sembilan itu, di mana kita mengeluarkan ikan ini daripada ekosistem di salah satu sungai di negeri itu.

“Jadi kita bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dan kita juga mengharapkan penglibatan semua pihak untuk sama-sama kita mengeluarkan ikan asing ini,”menurutnya.

“Bukan sahaja ikan baung ekor merah tetapi pelbagai spesies ikan asing termasuklah ikan bandaraya (suckerfish atau pterygoplichthys pardalis dan pterygoplichthys disjunctiva), arapaima (Arapaima gigas), dan ikan alligator atau alligator gar (atractosteus spatula) yang sebahagiannya telah pun berada dalam ekosistem kita, ”katanya lagi.

“Di Kedah buat masa ini, kita percaya spesies ini mungkin ada tetapi kita belum menerima laporan rasmi. Tetapi di negeri-negeri lain kita telah menerima maklumat termasuklah di Pahang, Selangor, Terengganu dan Perak terdapat spesies ini.

“Semua pihak termasuklah peminat ikan hiasan, penternak akuakultur, juga orang ramai diseru supaya tidak melepaskan ikan-ikan larangan, seperti ikan baung ekor merah ini ke ekosistem sungai kita.

“Kerana apabila ikan ini telah ada di ekosistem, spesies ini akan membiak dengan sangat cepat, ia akan mengancam populasi ikan-ikan tempatan kita, ”tambahnya.

Terdahulu, Adnan berkata program KAM DOF di KEDA Sungai Udang, di sini melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi manfaat 1,686 penduduk daripada 205 keluarga.

Beliau berkata KAM memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, aktiviti ekonomi berasaskan perikanan, penglibatan komuniti serta penambahbaikan kemudahan awam berdasarkan keperluan penduduk setempat.

Menurut beliau, pelaksanaan KAM memberi peluang kepada DOF untuk mendekati komuniti dan memahami keperluan mereka secara langsung, selain menggunakan kepakaran jabatan dalam program yang memberi manfaat kepada penduduk.

“Kita mahu pelaksanaannya memberi kesan yang boleh dilihat dan dirasai oleh komuniti, bukan hanya melalui penyediaan kemudahan, tetapi juga peningkatan kemahiran dan peluang ekonomi.

“Sebab itu, program yang dilaksanakan turut memberi tumpuan kepada pemprosesan hasil perikanan, kemahiran teknikal dan penglibatan masyarakat,” katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan KAM turut merangkumi penambahbaikan kemudahan awam seperti Masjid KEDA Sungai Udang, Perpustakaan Desa, Tabika KEMAS, kawasan perkuburan dan gelanggang futsal, termasuk penyediaan kemudahan solar dome di kawasan perkuburan.

“Keseluruhan projek fizikal KAM Desa KEDA Sungai Udang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini sebelum diserahkan kepada komuniti untuk dimanfaatkan dan diselenggara secara berterusan.

“Kejayaan pelaksanaan program tidak hanya bergantung kepada penyempurnaan projek, sebaliknya turut bergantung kepada penglibatan komuniti dalam memastikan kemudahan dan peluang yang disediakan dapat dimanfaatkan dalam jangka panjang,”ujarnya.

Ujarnya lagi, apabila projek ini siap dan diserahkan kepada komuniti, tanggungjawab untuk memastikan kemudahan tersebut terus dimanfaatkan perlu dipikul bersama.

“Kita mahu penduduk melihat kemudahan dan kemahiran yang diperoleh ini sebagai aset untuk meningkatkan kesejahteraan serta membuka ruang kepada aktiviti ekonomi yang boleh diteruskan,”tambahnya.

Dalam perkembangan sama, peserta turut dibawa meninjau beberapa aktiviti dan kemudahan sekitar Desa KEDA Sungai Udang, termasuk penghasilan ikan kering, produk makanan komuniti, jeti pelancongan dan pangkalan pendaratan ikan.

Selain itu, program pembangunan kemahiran turut melibatkan Demonstrasi Membaiki Enjin Sangkut yang disertai 30 peserta daripada komuniti nelayan bagi memberi pendedahan mengenai asas penyelenggaraan dan pembaikan enjin sangkut bagi membantu nelayan melaksanakan penyelenggaraan asas dengan lebih baik.

Menariknya, Kursus Pembuatan Keropok Lekor melibatkan 50 peserta daripada kumpulan wanita Desa KEDA Sungai Udang memberi pendedahan mengenai pemprosesan hasil perikanan dan penghasilan produk makanan bernilai tambah yang boleh dikembangkan sebagai aktiviti ekonomi komuniti.

Pengisian berkaitan hasil perikanan turut merangkumi demonstrasi penyediaan produk makanan seperti sata dan otak-otak. Aktiviti kemasyarakatan pula dilaksanakan menerusi permainan tradisional, sukan serta Program Kesedaran Awam Komuniti MADANI.

Sementara itu, aktiviti gotong-royong turut dilaksanakan dengan penglibatan komuniti bagi membersihkan kawasan masjid, perpustakaan dan Tabika KEMAS.

Dalam majlis yang sama, penyerahan bantuan turut dilaksanakan melibatkan Touch Point kepada 20 penerima serta bantuan KAM bagi kemudahan Masjid KEDA Sungai Udang, Perpustakaan Desa, Tabika KEMAS dan myKomuniti Perikanan (myKP). – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat