CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform e-dagang serta kementerian dan agensi berkaitan pada 7 Oktober bagi menyelaras tindakan memperkukuh perlindungan pengguna dan keselamatan ekosistem e-dagang negara.
Antara tumpuan utama perbincangan ialah tanggungjawab platform memperkukuh pengesahan identiti penjual serta memastikan produk yang ditawarkan mematuhi keperluan undang-undang dan ketetapan agensi berkuasa.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, platform juga perlu meningkatkan pemantauan dan penggunaan teknologi untuk mengesan serta mengambil tindakan pantas terhadap penyenaraian barangan terlarang, berbahaya atau tidak mematuhi undang-undang.
“Perbincangan ini juga memberi tumpuan kepada tanggungjawab platform untuk memperkukuh pengesahan identiti penjual dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan produk yang ditawarkan mematuhi keperluan undang-undang dan ketetapan agensi berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Sesi berkenaan diadakan sebagai tindakan susulan terhadap kebimbangan awam mengenai keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.
Menurut MCMC, usaha itu selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengenai keperluan memperkukuh kawal selia melalui kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan dan penyedia platform.
Selain perlindungan pengguna, sesi tersebut turut menekankan keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang seimbang antara perniagaan dalam talian dan premis fizikal.
Perbincangan mengambil kira maklum balas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor peruncitan mengenai kesan perkembangan e-dagang terhadap perniagaan mereka, termasuk implikasinya kepada industri kurier.
MCMC menjelaskan, usaha berkenaan memerlukan mekanisme kerjasama yang lebih tersusun antara platform dan agensi kerajaan, dengan siasatan serta tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing dan tertakluk kepada undang-undang yang terpakai.
Antara penyedia platform yang disenaraikan menyertai sesi itu ialah Grab, Lazada Malaysia/Alibaba, Shopee Malaysia dan TikTok Shop. Facebook Marketplace, Pinduoduo serta SHEIN pula disenaraikan menyertai sesi secara dalam talian.
Turut terlibat ialah Kementerian Komunikasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Tenaga, SIRIM Berhad dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, selain Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian serta Forum Kandungan Komunikasi.
MCMC akan meneruskan penyelarasan bersama kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memastikan langkah susulan yang praktikal dapat dilaksanakan.
Langkah itu bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang dan akauntabiliti platform ke arah ekosistem e-dagang yang lebih selamat serta dipercayai.



