SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpesan supaya pemimpin politik tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan sesama mereka.
Sebaliknya, baginda mahu segala usaha dan perhatian ditumpukan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan golongan yang memerlukan pembelaan.
Menurut perkongsian di akaun Instagram Selangor Royal Official hari ini, baginda menyampaikan pesanan itu ketika bersantap bersama dua bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pertemuan tersebut berlangsung bersempena Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
“Dalam suasana santapan tersebut, Baginda berpesan agar para pemimpin politik tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan sesama mereka.
“Sebaliknya, Baginda mahu segala usaha dan perhatian hendaklah ditumpukan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan mereka yang memerlukan pembelaan,” menurut perkongsian itu.
Baginda turut menegaskan bahawa perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.
Menurut perkongsian berkenaan, baginda mengingatkan supaya tanggungjawab kepimpinan dilaksanakan dengan penuh amanah serta mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik.
“Baginda turut mengingatkan bahawa kemajuan Selangor perlu disertai keharmonian masyarakat dan kestabilan pentadbiran.
“Justeru, para pemimpin hendaklah memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan,” menurut perkongsian tersebut.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat berkenaan sebelum menunaikan solat Jumaat bersama rakyat jelata.
Perkongsian itu turut menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai mencerminkan keprihatinan berterusan baginda terhadap hala tuju negeri dan kehidupan rakyat, selain memperlihatkan hubungan baik antara institusi diraja dengan kepimpinan pentadbiran negeri, termasuk mereka yang pernah menggalas tanggungjawab tersebut.


