Ukuran sebenar sebuah kerajaan bukan berapa banyak dibina, tetapi berapa ramai yang merasa mereka turut dibina bersama negara ini- Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Tidak semua politik identiti adalah politik kebencian, sebagaimana tidak semua politik prestasi menjamin keadilan.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee mengingatkan, dalam masyarakat majmuk, pemerintah perlu “ukur baju di badan sendiri”. Ukuran kejayaan tidak boleh hanya berdasarkan apa yang tercatat dalam laporan kerajaan, tetapi mesti berdasarkan apa yang dirasai rakyat di lapangan.

Menurut bekas Naib Presiden Bersatu itu lagi, dalam masyarakat majmuk, identiti bukan sekadar soal kaum, agama atau bahasa.

“Dalam sosiologi politik, identiti berkait rapat dengan collective identity, iaitu bagaimana sesuatu kelompok memahami kedudukan, kepentingan, hak dan masa depan mereka dalam sebuah negara. Ia menyentuh soal representasi, pendidikan, peluang ekonomi, mobiliti sosial dan akses kepada kuasa.

“Justeru, apabila sesuatu komuniti mempertahankan kepentingannya, ia tidak semestinya bermaksud memusuhi kelompok lain. Ia juga boleh menjadi bentuk interest-based politics, sesuatu yang normal dalam demokrasi.

“Begitu juga dengan politik prestasi. Prestasi kerajaan bukan sekadar angka pertumbuhan, jumlah pelaburan, projek yang diumumkan atau statistik ekonomi yang dipamerkan.

“Persoalan rakyat jauh lebih asas: Prestasi untuk siapa? Siapa yang mendapat manfaat? Siapa yang mendapat peluang? Dan siapa yang masih tertinggal?

“Di sinilah politik identiti dan politik prestasi sebenarnya bersilang,” tegas beliau.

Memperincikan perkara itu Ronald berkata, kerajaan boleh membina jalan, menarik pelaburan dan mencatat pertumbuhan ekonomi.

“Tetapi jika sebahagian masyarakat masih merasakan mereka tidak diwakili, tidak mendapat peluang yang adil atau tidak mempunyai tempat yang sewajarnya dalam struktur kuasa, maka persoalan politik itu belum selesai.

“Lebih membimbangkan apabila pemerintah menentukan sendiri apa yang dianggap sebagai “politik prestasi”, sedangkan persoalan berkaitan identiti, representasi, agama atau ketidakseimbangan sosial dengan mudah dilabel sebagai “politik identiti”.

“Di sinilah berlaku proses depoliticisation. Persoalan tentang kuasa, kepentingan, representasi dan pengagihan sumber boleh dikecilkan menjadi sekadar angka, statistik dan pencapaian pentadbiran.

“Politik identiti memang berbahaya apabila kaum atau agama dieksploitasi untuk membina kebencian, ketakutan dan permusuhan. Politik seperti ini mesti ditolak.

“Tetapi jangan pula setiap tuntutan yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan terhadap hak, kepentingan dan kedudukan sesuatu komuniti terus dicop sebagai politik identiti,” katanya mengulas selepas keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, muncul hari ini kecenderungan untuk meletakkan politik identiti dan politik prestasi sebagai dua kutub yang bertentangan.

Ujranya, politik identiti dilabel sebagai politik lama, sempit dan emosional, manakala politik prestasi pula dipersembahkan sebagai politik baharu yang lebih matang, rasional dan berpaksikan hasil.

“Hujah ini sedap didengar. Tetapi politik tidak pernah sesederhana slogan.

“Lebih penting, mengurus kepelbagaian memerlukan kebijaksanaan “bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.”

“Terlalu keras mengurus identiti boleh memecahkan masyarakat, terlalu longgar pula boleh membuka ruang kepada politik perkauman dan eksklusivisme.

“Hakikatnya, demokrasi bukan pertandingan antara identiti dengan prestasi.

“Prestasi tanpa keadilan boleh melahirkan rasa terpinggir. Identiti tanpa inklusiviti pula boleh melahirkan perpecahan.

“Politik yang matang ialah politik yang mampu menggabungkan kedua-duanya: menghasilkan prestasi yang boleh dirasai rakyat, sambil mengurus identiti dengan adil, inklusif dan bertanggungjawab.

“Akhirnya, ukuran sebenar sebuah kerajaan bukan hanya berapa banyak yang dibina, tetapi berapa ramai yang merasa mereka turut dibina bersama negara ini.

“Angka boleh menunjukkan pencapaian, tetapi keadilan membina kepercayaan. Identiti membentuk rasa memiliki manakala prestasi mengukur sejauh mana pemerintah benar-benar bekerja,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat