KUALA LUMPUR – Veteran DAP Datuk Teng Chang Khim mencabar Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menyatakan peruntukan undang-undang manakah yang memberi kuasa kepada MPKu menghentikan operasi perniagaan peniaga kerana silap mengibarkan bendera.
Tegas Chang Khim, jika ada undang-undang untuk hukuman bagi silap gantung bendera sekalipun, hukumannya tidak boleh menganiaya sehingga menghentikan operasi perniagaan.
Ujarnya, sekadar denda RM200, RM500 atau RM1000 sudah memadai.
“Kerajaan jangan lebih zalim daripada harimau.
“Sekadar hendak mendapatkan komitmen kehadiran maka ditutup operasi perniagaan? Apa jenis penguatkuasaan undang-undang ini? Denda sajalah kalau salah atau tidak hadir.
“Kalau ingkar lagi baru tindakan seterusnya. Bukan suka-suka tutup operasi perniagaan.
“Kalau bank yang silap, nak tutup bank? Kalau pejabat kerajaan silap, tutup pejabat kerajaan? soal beliau dalam siri hantaran di Facebook.
Chang Khim berkata demikian merujuk laporan sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu diambil sehingga pihak syarikat berkenaan tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.
“Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik itu turut diperbetulkan dengan serta-merta selepas perkara berkenaan dikenal pasti.
“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan,” katanya.



