Minit pengampunan Najib bakal didedah, kerajaan teliti aspek undang-undang – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengatur proses menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan keputusan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, tertakluk kepada pematuhan undang-undang sedia ada.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beberapa aspek perundangan perlu diteliti sebelum sebarang keputusan berhubung perkara itu dimuktamadkan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri turut mendapatkan nasihat Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi memastikan proses berkenaan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“Ia (perkara itu) tidak dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, tetapi memang proses itu saya difahamkan sedang diatur.

“Hasrat itu ada dan akan melalui proses yang wajib,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Jumaat.

Perkembangan itu menyusul selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam memaklumkan akan membawa cadangan penyahklasifikasian minit mesyuarat berkenaan ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Cadangan berkenaan dikemukakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu minit mesyuarat itu didedahkan bagi memberikan gambaran lebih jelas dan telus mengenai proses serta keputusan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Saifuddin sebelum ini menjelaskan bahawa perkara berkenaan berada dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara, namun beliau tidak mempunyai halangan untuk membawa syor itu ke peringkat Jemaah Menteri.

Isu penyahklasifikasian dokumen berkenaan kembali menjadi perhatian susulan polemik keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib, termasuk pelaksanaan baki hukuman penjaranya menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, kerajaan setakat ini belum mengumumkan keputusan muktamad mengenai pendedahan minit mesyuarat berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat