KUALA LUMPUR -Menteri Kewangan boleh saja bincang elok-elok dengan Perdana Menteri demi untuk menunaikan hak dan keadilan kepada negeri-negeri walaupun diperintah oleh Pas.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Datuk Dr Azman Ibrahim menegaskan, kuasa untuk menyalurkan peruntukan ada pada Menteri Kewangan dengan persetujuan Perdana Menteri.
Azman berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menafikan dakwaan bahawa pentadbirannya meminggirkan negeri-negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN).
Anwar mendakwa pemimpin Umno pernah membantah pemberian peruntukan berkenaan.
“Rakan-rakan saya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, banyak tegur saya. Banyak rakan-rakan dalam Umno tegur.
“(Mereka dalam Umno berkata) ‘Anwar, ini dasar yang salah. Kenapa bantu?’
Walaupun dia nampak bekerjasama di peringkat negeri, tetapi mereka tidak setuju saya luluskan bantuan untuk Kelantan, Terengganu dan sebagainya,” katanya.
Justeru Azman berkata, tak apalah kalau benar ada bantahan sebagaimana yang didakwa.
“Kita pun tak ada bukti dan siapa pemimpin yang dimaksudkan.
“Faktanya, kuasa untuk menyalurkan peruntukan ada pada Menteri Kewangan dengan persetujuan Perdana Menteri.
“Menteri Kewangan boleh saja bincang elok-elok dengan Perdana Menteri demi untuk menunaikan hak dan keadilan kepada negeri-negeri walaupun diperintah oleh Pas,” katanya.



