KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar kembali muncul dalam program awam bersama Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, selepas mengambil cuti sementara daripada tugasnya sebagai Timbalan Presiden PKR.
Kedua-duanya menyertai Perbincangan Kumpulan Berfokus SEAFIC bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), semalam.
Program bertemakan tekanan kehidupan bandar itu diadakan bagi mendengar sendiri pengalaman masyarakat yang berdepan peningkatan kos sara hidup meskipun mempunyai pekerjaan tetap.
Tengku Zafrul berkata, sebahagian rakyat masih mendapati pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan seperti sewa rumah, pengangkutan, makanan serta kos penjagaan anak dan ibu bapa.
“Bekerja sepenuh masa, tetapi hujung bulan duit tak cukup. Inilah realiti yang sedang dihadapi ramai rakyat Malaysia.
“Walaupun ekonomi berkembang dan inflasi terkawal, kita tetap perlu bertanya: mengapa kehidupan harian rakyat masih terasa sempit?” katanya menerusi hantaran media sosial.
Menurut bekas Menteri Kewangan itu, terdapat individu yang terpaksa memilih antara kediaman lebih murah dengan perjalanan lebih jauh, manakala sebahagian yang mempunyai kelayakan akademik pula menerima pendapatan tidak sepadan.
Katanya, keadaan itu tidak dapat digambarkan sepenuhnya melalui angka pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi semata-mata.
“Inilah perkara yang angka ekonomi sahaja tidak dapat ceritakan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, pandangan peserta akan dikumpulkan sebagai input untuk menambah baik dasar kerajaan.
Menurutnya, ukuran sebenar kemajuan bukan sekadar berdasarkan angka ekonomi yang baik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat.
Kehadiran Nurul Izzah dalam program berkenaan turut menarik perhatian selepas beliau dilaporkan mengambil cuti sementara daripada tugas sebagai Timbalan Presiden PKR susulan Kongres Nasional parti itu baru-baru ini.
Sepanjang tempoh tersebut, tugas Timbalan Presiden PKR dilaksanakan oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun, hantaran Tengku Zafrul itu tidak menyentuh sebarang perbincangan berkaitan politik atau kedudukan Nurul Izzah dalam parti.


