Suara Masyarakat Orang Asli Akan Terus Diberi Perhatian – Zahid

CYBERJAYA:Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai inisiatif pembangunan.

Sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2026, Zahid berkata masyarakat Orang Asli sentiasa dekat di hatinya, terutama selepas diberi amanah menerajui KKDW.

Beliau berkata sepanjang menerajui kementerian itu, beliau berpeluang mendekati lebih banyak komuniti Orang Asli, selain mendengar sendiri suara serta memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi mereka.
“Setiap pertemuan bersama mereka memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat saya.

“Di sebalik keunikan adat, budaya dan cara hidup yang terus dipertahankan, saya melihat begitu banyak potensi dalam komuniti ini, khususnya dalam kalangan generasi mudanya yang mempunyai cita-cita dan kemampuan untuk pergi lebih jauh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), komitmen KKDW menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus diperkasakan bagi memastikan pembangunan masyarakat Orang Asli dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar komuniti.

Katanya, antara aspek yang diberi perhatian termasuk pendidikan anak-anak Orang Asli, peluang ekonomi, peningkatan pendapatan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti.
“Kita akan terus berusaha memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata masih banyak perkara perlu dilakukan meskipun pelbagai usaha sudah dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

Beliau turut memberi jaminan akan terus mendekati masyarakat Orang Asli bagi memahami situasi serta keperluan mereka secara lebih dekat.

“Insya-Allah, saya akan terus mendengar, terus turun mendekati masyarakat Orang Asli dan memastikan suara mereka sentiasa diberikan perhatian dalam setiap agenda pembangunan yang kita bawa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Orang Asli atas sumbangan mereka dalam memperkayakan kepelbagaian budaya dan warisan negara.

Beliau turut menyeru masyarakat Orang Asli supaya terus melangkah maju dengan mengekalkan identiti serta jati diri yang menjadi kebanggaan bersama.

“Selamat Menyambut Hari Orang Asli Sedunia 2026,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat