KUALA LUMPUR -Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan, jika Malaysia menuntut akauntabiliti antarabangsa terhadap pemimpin Israel, mengapa pemimpin junta Myanmar diberikan sambutan rasmi tanpa penjelasan yang meyakinkan tentang akauntabiliti, perlindungan mangsa dan komitmen terhadap keadilan?
Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, prinsip keadilan tidak boleh berubah mengikut identiti pemimpin atau kepentingan diplomatik.
Kata Fadhli, Malaysia mesti konsisten mempertahankan undang-undang antarabangsa, sama ada melibatkan Palestin, Myanmar atau mana-mana negara.
“Hal penghantaran pulang pelarian dan PATI dari Myanmar mesti mengikut proses undang-undang antarabangsa dan tidak boleh sama sekali mengabaikan risiko ancaman keselamatan dan hak kemanusiaan.
“Pas tidak mempertahankan kemasukan tanpa izin atau kelemahan penguatkuasaan. Kerajaan wajib mengawal sempadan, membanteras sindiket penyeludupan manusia dan melaksanakan undang-undang imigresen.
“Namun, tindakan terhadap PATI mesti dibezakan daripada pengurusan pelarian dan pemohon suaka yang mungkin berdepan penganiayaan jika dihantar pulang tanpa proses yang jelas dan teratur.
“Penghantaran pulang warga Myanmar dan pelarian yang telah berlaku dan akan berlaku selepas ini mesti dijelaskan oleh kerajaan tentang proses saringan, penilaian risiko dan jaminan keselamatan selepas ketibaan. Adakah setiap individu telah dinilai secara sewajarnya, termasuk mereka yang mungkin memerlukan perlindungan antarabangsa?
“Pas tidak mahu Malaysia menjadi tempat kemasukan warga asing tanpa kawalan. Penyelesaian mesti menggabungkan penguatkuasaan yang berkesan, perlindungan hak rakyat, saringan yang adil dan kerjasama ASEAN serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Justeru kata Fadhli, Pas mendesak kerajaan menjelaskan hasil dan tujuan sebenar kunjungan Min Aung Hlaing serta pendirian Malaysia terhadap dakwaan jenayah antarabangsa yang dikaitkan dengannya.
“Mendedahkan mekanisme saringan dan jaminan keselamatan bagi warga Myanmar yang dihantar pulang, serta memastikan tiada pemulangan yang melanggar kewajipan perlindungan.
“Memperkemas pengurusan pelarian dan PATI melalui dasar yang jelas, penguatkuasaan tegas atas pelanggaran undang-undang dan kerjasama serantau berteraskan Konsensus Lima Perkara ASEAN.
“Kedaulatan menuntut sempadan yang terkawal. Keadilan menuntut prinsip yang konsisten. Kemanusiaan menuntut agar tiada nyawa dipertaruhkan demi kepentingan politik singkat.
“Kerajaan mesti menjelaskan kepada rakyat sama ada kunjungan ini benar-benar membawa penyelesaian kepada krisis Myanmar atau sekadar memberikan ruang diplomatik kepada pemimpin junta tanpa jaminan kemajuan yang nyata.
“Malaysia mesti mengutamakan rakyat, mempertahankan maruah negara dan melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan secara tegas, adil serta berprinsip,” tegas beliau.
Hal demikian katanya, Pas melahirkan kekesalan di atas langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjemput dan menerima kunjungan rasmi Min Aung Hlaing, pemimpin junta tentera Myanmar, ke Malaysia pada 7–8 Oktober 2026.
“Walaupun individu berkenaan sudah meninggalkan Malaysia, ia tetap akan dikenang sebagai langkah diplomatik sumbang pada saat Myanmar masih dilanda konflik bersenjata, genosid rakyat awam, penindasan politik, dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
“Sambutan rasmi dengan hamparan permaidani merah seumpama tokoh negarawan terbilang berisiko menormalisasikan kepimpinan junta yang terus dikaitkan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia, termasuk genosid terhadap komuniti Shan dan lain-lain etnik di Myanmar.
“Perlu ditegaskan bahawa Pas memahami keresahan rakyat terhadap keberadaan warga asing tanpa dokumen, kelemahan pengurusan pelarian, hak kepentingan rakyat tempatan serta ancaman keselamatan dan eksploitasi tenaga kerja. Keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan rakyat Malaysia wajib menjadi keutamaan pertama kerajaan.
“Justeru Pas tidak menolak kepentingan diplomasi di dalam menyelesaikan isu warga Myanmar dan pelarian di Malaysia. Namun, ia tidak boleh mengatasi prinsip, mengetepikan keadilan antarabangsa atau mengorbankan kepentingan rakyat dan keselamatan manusia.
“Keputusan kerajaan juga menimbulkan persoalan tentang komitmen Malaysia terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN, khususnya tuntutan menghentikan keganasan, menggalakkan dialog inklusif dan mencari penyelesaian politik bagi krisis Myanmar,” katanya.
Pas menegaskan bahawa keadilan antarabangsa tidak boleh diamalkan secara terpilih, ujar Fadhli.
“Pada November 2024, Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memohon waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan penganiayaan komuniti . Kes tersebut menuntut pendirian yang jelas dan bertanggungjawab daripada Malaysia.
“Pada 21 November 2024, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan Gaza. Prosiding genosid terhadap Israel pula berlangsung secara berasingan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.


