KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Malaysia mengambil tindakan lebih tegas terhadap Indonesia jika terbukti jerebu ini berpunca daripada kebakaran hutan di sana.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya kerajaan membuat aduan rasmi melalui ASEAN, dapatkan bantuan badan antarabangsa seperti United Nations Environment Programme (UNEP) dan mula mengira berapa banyak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara kita.
“Tengah hari ini sewaktu sidang berhenti rehat, saya menempuhi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Serdang dengan pemandangan jerebu yang cukup menyedihkan. Nak bernafas pun terasa cukup tersekat dengan keadaan jerebu yang melanda.
“Perjanjian ASEAN berkaitan jerebu ini wajib dipinda. Perlu ada mekanisme yang membolehkan negara yang terbukti bertanggungjawab dikenakan denda dan diwajibkan membayar pampasan kepada negara yang terjejas.
“Kalau perlu, kita teroka juga saluran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tertakluk kepada bidang kuasanya.
“Kita bukan nak bergaduh dengan Indonesia. Hubungan dua negara mesti dijaga. Tetapi takkanlah setiap kali berlaku jerebu, rakyat kita kena tanggung begitu sahaja?
“Yang buat pencemaran, sepatutnya dialah yang kena bayar. Bukan rakyat negara jiran yang terpaksa menanggung akibatnya,” kata Ketua Penerangan Pas itu.



