KUALA LUMPUR – Sekiranya DAP mengambil keputusan untuk keluar daripada Kabinet Kerajaan Madani, maka ia bukan lagi sekadar isu rombakan pentadbiran namun ia adalah bukti bahawa kerajaan yang dibina atas nama perpaduan sudah mula kehilangan kesepaduan dan kepercayaan dalam kalangan rakan sekutunya sendiri.
Penolong Setiausaha Agung Pas Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, memang benar, dari sudut perlembagaan kerajaan tidak semestinya tumbang sekiranya Ahli-ahli Parlimen DAP terus menyokong Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Namun ujar beliaupersoalan yang lebih besar ialah bagaimanakah sebuah kerajaan boleh mendakwa dirinya stabil apabila parti kedua terbesar dalam gabungan enggan lagi memikul tanggungjawab dalam pentadbiran negara?
“Jika sebuah parti sudah tidak sanggup berada dalam Kabinet, apakah itu bukan petanda bahawa keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan semakin terhakis?
“Rakyat tidak mahu melihat sebuah kerajaan yang terus bertahan semata-mata kerana cukup bilangan kerusi. Negara memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai kesepaduan, hala tuju yang jelas dan keyakinan penuh daripada semua rakan gabungannya.
“Tindakan DAP ini bakal menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kehilangan 40 anggota di Parlimen, itu belum mengambil kira jika Amanah mengambil langkah yang sama seperti yang berlaku di Melaka.
“Ketika itu, krisis politik bukan lagi sekadar persepsi tetapi boleh berubah menjadi krisis keabsahan sebuah kerajaan,” tegas Khairul Faizi.
Menurut beliau, kita pernah melihat bagaimana DAP mengambil keputusan keluar daripada pentadbiran negeri Melaka.
“Walaupun kerajaan negeri kekal kerana mempunyai majoriti yang mencukupi, tindakan tersebut membuktikan bahawa sesebuah kerajaan boleh terus wujud di atas kertas tetapi hakikatnya sedang menghadapi krisis politik yang serius.
“Oleh itu, sekiranya senario ini berlaku di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri tidak seharusnya terus bergantung kepada majoriti yang semakin rapuh atau kepada sokongan yang dipersoalkan.
“Jalan yang paling bermaruah dan demokratik ialah memohon pembubaran Parlimen serta mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Biarlah rakyat menentukan sama ada mereka masih mahu meneruskan kerajaan yang berpecah dari dalam atau memilih sebuah kerajaan baharu yang lebih stabil, lebih meyakinkan dan benar-benar mampu mentadbir negara,” katanya.
Dalam sebuah demokrasi Khairul Faizi berkata, kuasa bukan sekadar soal bertahan.
“Kuasa adalah amanah yang mesti disandarkan kepada keyakinan. Apabila keyakinan itu mula hilang, maka sewajarnya mandat itu dikembalikan kepada pemilik sebenar kuasa, iaitu rakyat.
“Apapun, apa yang dilontarkan ini bergantung kepada keputusan DAP pada 16 Ogos nanti,” katanya.



