PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengingatkan orang ramai, khususnya para pembekal, supaya berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menggunakan nama pegawai kementerian bagi mendapatkan wang melalui tempahan makanan, minuman dan cenderahati bagi program rasmi kerajaan yang sebenarnya tidak wujud.
KPWKM dalam satu kenyataan memaklumkan, aduan yang diterima setakat ini membabitkan kerugian mencecah ribuan ringgit.
Menurut kementerian, modus operandi sindiket itu ialah menyamar sebagai wakil syarikat yang kononnya menerima tempahan melalui Pesanan Kerajaan yang dikeluarkan oleh pegawai KPWKM.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran kononnya bagi mendapatkan kontrak atau mengesahkan tempahan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPWKM menegaskan semua urusan perolehan kementerian hanya dilaksanakan melalui Pesanan Kerajaan yang dikeluarkan menerusi Sistem ePerolehan mengikut tatacara kewangan yang berkuat kuasa.
“KPWKM tidak pernah meminta mana-mana pembekal membuat sebarang bayaran kepada pegawai, individu atau pihak ketiga bagi mendapatkan kontrak atau mengesahkan sesuatu tempahan,” tegas kementerian.
Kementerian turut menasihatkan pembekal supaya sentiasa menyemak kesahihan setiap Pesanan Kerajaan melalui Sistem ePerolehan serta tidak mudah mempercayai tawaran tempahan atau kerjasama yang dibuat di luar saluran rasmi.
Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang pembayaran kepada individu atau pihak ketiga yang menggunakan nama KPWKM tanpa pengesahan.
Menurut KPWKM, sebarang tawaran atau permintaan pembayaran yang mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan.


