KUALA LUMPUR — SCRUT Garage yakin mampu menghimpunkan sekurang-kurangnya 100 bengkel dan penyedia perkhidmatan automotif menyertai platform digitalnya menjelang pelancaran rasmi kepada pengguna pada September ini.
Pengasas Bersama SCRUT Garage, Aliff Ahmad berkata sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem pendigitalan industri servis automotif tempatan, selain membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada sistem pengurusan digital yang lebih cekap.
Menurutnya, SCRUT Garage merupakan aplikasi pengurusan kenderaan dan sistem operasi bengkel digital yang menghubungkan pengguna dengan bengkel, pusat servis serta pelbagai penyedia perkhidmatan automotif menerusi satu platform.
“Kami yakin sasaran menghimpunkan sekurang-kurangnya 100 bengkel sebelum pelancaran rasmi pada September mampu dicapai. Matlamat kami adalah untuk membina ekosistem digital yang memudahkan operasi bengkel serta meningkatkan daya saing industri automotif tempatan.
“Pendigitalan bukan lagi satu pilihan. Kami mahu lebih ramai pengusaha bengkel memanfaatkan teknologi tanpa perlu menanggung kos pembangunan sistem yang tinggi, sekali gus membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Jelasnya setakat ini, lebih 20 syarikat yang majoritinya dimiliki usahawan Bumiputera telah menyertai platform yang dioperasikan oleh Scrut Technology Sdn. Bhd.
Beliau berkata aplikasi itu membolehkan pengguna merekodkan sejarah penyelenggaraan kenderaan secara sistematik, selain membantu pengusaha bengkel mengurus operasi harian dengan lebih cekap.
Tambahnya platform berkenaan dibangunkan berdasarkan pengalaman syarikat mengendalikan bengkel sejak 2017 bagi memastikan penyelesaian yang ditawarkan memenuhi keperluan sebenar industri.
“Pengalaman mengendalikan bengkel sendiri memberi kami pemahaman yang jelas mengenai cabaran sebenar industri. Sebab itu penyelesaian yang dibangunkan lebih praktikal dan mudah digunakan oleh pengusaha bengkel.
“Melalui SCRUT Garage, pengusaha bengkel tidak perlu membuat pelaburan besar untuk membangunkan sistem sendiri. Mereka hanya perlu menyertai ekosistem sedia ada bagi menikmati kemudahan pengurusan operasi yang lebih moden dan efisien,” katanya.
Beliau berkata selain menjadi sistem pengurusan bengkel, SCRUT Garage turut menggunakan data automotif yang sah bagi meningkatkan ketelusan dalam ekosistem kenderaan terpakai, di samping membantu mengurangkan penipuan serta maklumat mengelirukan berkaitan kenderaan.
“Integriti sentiasa menjadi asas kepada pembangunan jenama SCRUT. Kami tidak terlibat dalam urusan jual beli kenderaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyediaan data dan laporan pemeriksaan yang telus serta boleh dipercayai.
“Kepercayaan pengguna adalah aset paling penting bagi kami. Prinsip itu akan terus dikekalkan ketika kami membangunkan ekosistem digital SCRUT Garage agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh industri automotif,” katanya.
Beliau berkata SCRUT Garage masih mempunyai ruang pertumbuhan yang besar memandangkan pasaran kereta terpakai di Malaysia merekodkan sekitar 500,000 hingga 600,000 transaksi setiap tahun, namun platform itu ketika ini meliputi kurang daripada lima peratus daripada jumlah tersebut.
Bagi segmen kenderaan recond pula jelasnya, terdapat kira-kira 45,000 transaksi setiap tahun dengan SCRUT Garage kini meliputi sekitar 15 peratus daripada pasaran berkenaan.
“Potensi pasaran automotif di Malaysia masih sangat besar dan kami melihat ini sebagai peluang untuk terus memperluaskan ekosistem SCRUT Garage ke seluruh negara.
“Dengan penyertaan lebih banyak bengkel dan penyedia perkhidmatan, kami yakin platform ini mampu menjadi antara ekosistem digital automotif yang paling lengkap di Malaysia, sekali gus memberi manfaat kepada pengusaha bengkel dan juga pemilik kenderaan,” katanya.


