GFN 2.0 himpun artis graffiti enam negara di KotaJail

Oleh Zihan Zari

JOHOR BAHRU – Program Graff For Nation 2.0 (GFN 2.0), anjuran Balai Seni Negara dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang berlangsung selama tiga hari telah menghimpunkan 24 artis graffiti terpilih dari enam negara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Itali.

Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata, penganjuran GFN 2.0 bermula 25 September menjadi ruang pertemuan antara artis tempatan dan antarabangsa untuk berkarya, bertukar idea, berkongsi kepakaran serta memperluas jaringan dalam bidang seni graffiti.

Perasmian GFN 2.0 telah disempurnakan oleh EXCO Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Pannir Selvam a/l Paliksina Siwalinggam di KotaJail, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Fauzan Omar; Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPSVN, Rohana Mohd Yusof; dan Pengarah Operasi KotaJail, Zul Abbas.

“Selepas penganjuran sulungnya di Langkawi pada tahun 2024, GFN kembali menerusi edisi kedua dengan mengangkat konsep ‘Spatial Creative Zone‘

“Konsep ini memanfaatkan ruang terbiar dan premis lama melalui pendekatan kreatif bagi mewujudkan ruang seni komuniti yang lebih dinamik serta berpotensi menarik kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa.

“Menerusi pendekatan ini, KotaJail diketengahkan sebagai ruang yang menghimpunkan seni graffiti dengan pelbagai kegiatan seni dan budaya urban untuk dinikmati oleh masyarakat, ”kata kenyataan itu.

Katanya, segmen utama GFN 2.0, Break The Wall: International Graffiti Art Festival, mengetengahkan penghasilan karya graffiti secara langsung oleh artis tempatan dan antarabangsa berdasarkan tema ‘Selamat Datang ke Malaysia’ atau ‘Greeting Malaysia’.

“Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri proses penghasilan karya serta kepelbagaian gaya dan pendekatan yang dibawa oleh setiap artis.

“Selain Break The Wall, GFN 2.0 turut menampilkan JAIL Project sebagai program sokongan yang merangkumi KotaJail Market x NAG, Graff For Kids, wacana dan pameran. KotaJail Market x NAG merupakan ruang pasaran kreatif berkonsepkan pop-up store yang mengetengahkan penyertaan 30 usahawan muda dan pereka tempatan, ”katanya lagi.

Ujarnya, pelbagai produk kreatif berasaskan kraf, custom culture, streetwear dan budaya urban ditampilkan sepanjang program.

“Pengisian ini turut melibatkan Jejak Seni Malaysia, NAGstore dan Young Art Entrepreneurs (YAE!), serta menjadi platform kepada usahawan dan pereka tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung. Graff For Kids menawarkan pelbagai bengkel seni dan aktiviti kreatif kepada kanak-kanak serta remaja.

“Program ini juga mengangkat gabungan designer toys dengan elemen sukan ekstrem seperti papan selaju dan BMX, sekali gus memperkenalkan seni graffiti dan budaya urban kepada peserta dengan lebih dekat.

“Selain aktiviti kreatif, program ini menampilkan Pameran Ulang Tahun Ke-10 Malaysian Graffiti Artist Database (MAGAD), sebuah inisiatif pendokumentasian artis graffiti tempatan yang dimulakan oleh Balai Seni Negara pada 2015, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, pengisian program turut merangkumi sesi wacana yang membincangkan hubungan antara seni, budaya dan masyarakat.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai platform Jejak Seni Malaysia dan keahlian NAG Friends sepanjang program berlangsung. GFN 2.0 dilaksanakan dengan kerjasama KotaJail, Tourism Malaysia, Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), District Shop & Gallery, ChopShop, WriterBlocks, Crossover, Guerilla Familia dan MAGAD Malaysia.

“Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026 penganjuran GFN 2.0 turut menyokong usaha memperkaya pengalaman pelancongan menerusi seni dan kreativiti, di samping meningkatkan pemahaman serta apresiasi masyarakat terhadap nilai artistik, kemahiran dan potensi seni graffiti dalam landskap seni visual, ”tambahnya lagi.

Untuk rekod, KotaJail yang terletak di Jalan Ayer Molek, di tengah bandar raya Johor Bahru dahulunya adalah Penjara Ayer Molek . Penjara ini yang berusia 142 tahun, dibina lebih satu abad yang lalu (1883) semasa zaman pemerintahan Sultan Johor, Maharaja Abu Bakar.

Penjara bersejarah ini merupakan antara penjara tertua di Malaysia telah beroperasi lebih daripada 100 tahun sebelum ditutup pada 30 Ogos 2005 dan kesemua pesalah ditempatkan di Penjara Kluang, Batu 8, Jalan Mersing, Kluang, Johor.

Setelah ditutup, Penjara Ayer Molek kini dikenali sebagai KotaJail Market kembali berfungsi sebagai hab seni, budaya dan warisan, dengan mengekalkan struktur asal bangunannya dan salah satu tarikan pelancongan baharu di Johor yang unik dan penuh nilai sejarah.

Di sini, tersedia sebuah ruang komuniti, seni dan niaga yang mengekalkan sebahagian besar seni bina asalnya. Ianya menjadi simbol transformasi daripada tempat pesalah yang menjalani hukuman kepada pusat kehidupan sosial yang menarik. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat