Kooqa bawa Jubin keluar dari lantai, jadi perabot lifestyle yang lain daripada biasa

Bila sebut sahaja jubin, perkara pertama yang mungkin terlintas di fikiran ialah lantai, dinding atau ruang dapur dan bilik air. Namun, Jubin Cantik Sdn Bhd melihat bahan yang sama dari sudut berbeza apabila memperkenalkan Kooqa, jenama perabot lifestyle yang menjadikan jubin sebagai sebahagian daripada identiti perabot.

Diperkenalkan dengan tagline “Ordinary Ends Here”, Kooqa membawa idea untuk menggabungkan kepakaran jubin dengan reka bentuk perabot moden dan minimalis. Hasilnya, jubin tidak lagi sekadar menjadi kemasan pada permukaan rumah, sebaliknya boleh menjadi elemen utama pada meja kopi, meja konsol dan perabot lain.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Jubin Cantik, Firdaus, idea Kooqa tercetus daripada keinginan untuk melihat sejauh mana jubin boleh digunakan di luar aplikasi biasanya.

“Jubin dan mozek selalu digunakan di lantai dan dinding. Kali ini kita cuba aplikasikan dan integrasikan jubin ke dalam perabot,” katanya ketika ditemui pada sesi previu media Kooqa di ibu pejabat Jubin Cantik, di sini.

Bagi Firdaus, Kooqa juga memberi peluang kepada pelanggan untuk menjadikan perabot sebagai sebahagian daripada identiti ruang mereka. Selain memilih reka bentuk perabot, pelanggan boleh memilih warna, corak dan jenis jubin yang ingin digunakan.

Sebagai contoh, jika pelanggan mahukan meja kopi dengan kemasan berwarna hijau, mereka boleh memilih daripada pelbagai koleksi jubin yang tersedia sebelum digabungkan dengan reka bentuk perabot pilihan.

Bagaimanapun, buat masa ini, pilihan kustomisasi lebih tertumpu kepada jenis dan kemasan jubin, manakala perubahan kepada bentuk asas perabot seperti menghasilkan meja berbentuk bulat masih belum ditawarkan.

Untuk permulaan, Kooqa hadir dengan tiga koleksi utama iaitu The Plinth Collection yang menampilkan meja kopi, The Accent Collection untuk meja konsol dan The Metal Series yang menampilkan set meja serta stool berasaskan besi dengan kemasan jubin.

Harga pula bermula daripada sekitar RM800 hingga RM5,700, bergantung kepada jenis dan reka bentuk produk.

Apa yang menarik, setiap perabot Kooqa mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan. Tempoh tersebut diperlukan kerana proses penghasilannya turut melibatkan elemen buatan tangan, selain penekanan terhadap kualiti dan kemasan setiap produk.

“Kita pentingkan kualiti dan kemasan. Disebabkan ada elemen hand-crafted, ia memang mengambil masa untuk disiapkan,” jelas Firdaus.

Dari segi reka bentuk pula, Kooqa mempunyai pereka dalaman sendiri yang mengendalikan pembangunan produk. Untuk permintaan daripada pemilik rumah, kafe atau projek komersial yang memerlukan reka bentuk khusus, pasukan Kooqa juga boleh menghasilkan cadangan berdasarkan keperluan projek sebelum ia dihantar kepada kilang untuk pengeluaran.

Pada masa sama, Jubin Cantik turut mempunyai rangkaian dengan beberapa kilang luar negara bagi mendapatkan pelbagai jenis jubin dan produk yang diperlukan.

Kooqa bukan hanya menyasarkan pemilik kediaman. Menurut Firdaus, jenama itu turut melihat peluang dalam sektor komersial termasuk hotel, lobi, bilik hotel, kafe dan restoran.

“Kita sasarkan orang yang appreciate design dan lifestyle. Kalau letak satu perabot sebagai sebahagian daripada ruang tamu, contohnya, ia boleh menjadi subject of conversation apabila ada tetamu datang,” katanya.

Selain menawarkan kelainan dari segi penampilan, penggunaan jubin pada perabot juga dilihat mempunyai kelebihan dari aspek ketahanan dan penjagaan. Permukaannya mudah dibersihkan dan tidak memerlukan rutin penjagaan yang rumit.

Dalam penggunaan harian, memadai dengan membersihkan permukaan menggunakan kain seperti mana penjagaan permukaan jubin biasa.

Bagi Jubin Cantik, kemunculan Kooqa juga menjadi satu langkah baharu selepas syarikat melalui perjalanan panjang dalam industri permukaan dan jubin.

Bermula pada 2016 sebagai Wall Planet, sebuah perniagaan wallpaper, Firdaus kemudiannya mula menceburi bidang jubin pada 2019 menerusi nama Décor Flava sebelum dijenamakan semula sebagai Jubin Cantik pada 2021.

Kini, Jubin Cantik mempunyai empat cawangan di Kajang, Shah Alam, Wangsa Maju dan Johor Bahru. Kooqa pula menjadi percubaan syarikat untuk membawa kepakaran yang dikumpulkan dalam industri jubin ke dalam kategori perabot.

Buat masa ini, Kooqa hanya boleh didapati di cawangan Jubin Cantik Kajang sebelum diperluaskan ke lokasi lain dalam masa terdekat.

Firdaus mengakui pihaknya masih belum menetapkan angka sasaran jualan khusus untuk Kooqa kerana jenama tersebut baru sahaja memasuki pasaran perabot.

“Kita belum ada angka yang realistik kerana ini memang percubaan pertama kita untuk masuk ke bahagian furniture. Jadi kita nak tengok dahulu bagaimana penerimaan pasaran,” katanya.

Dengan konsep yang menggabungkan fungsi, ketahanan dan reka bentuk, Kooqa kini cuba membuktikan bahawa jubin tidak semestinya berakhir di lantai atau dinding. Sebaliknya, bahan yang sama boleh diberi wajah baharu dan menjadi sebahagian daripada perabot yang mencuri perhatian dalam sesuatu ruang.

Untuk meraikan pelancarannya, Kooqa turut menawarkan diskaun early bird RM800 kepada 50 pelanggan pertama yang membuat tempahan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat